KEMAMAN: Polis telah mengambil keterangan dua beradik berhubung isu borang rentas negeri kosong yang mengandungi tandatangan palsu ketua polis Balai Polis Chukai.
Ketua Polis Daerah, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, kedua-dua wanita berusia 23 dan 28 tahun itu hadir ke Ibu Pejabat Polis (IPD) Kemaman kira-kira pukul 11.30 pagi, semalam.
“Kita telah mengambil keterangan berhubung kes tersebut daripada mereka dan siasatan masih dijalankan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Semalam akhbar melaporkan borang rentas negeri kosong milik Balai Polis Chukai yang tular di media sosial dikenal pasti mengandungi tandatangan palsu ketua polis balai tersebut.
Siasatan awal mendapati terdapat pemalsuan tandatangan Inspektor Mohd. Ramizan Ramli dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 bagi menyiasat penyalahgunaan borang rentas negeri tersebut.
Menurut Hanyan, borang rentas negeri itu diberikan kepada seorang wanita untuk ke Kuala Lumpur bagi menghadiri temuduga yang dijadualkan pada 8 April. – UTUSAN ONLINE