MERSING: Seorang wanita yang mengalami kecederaan di bahagian kaki diselamatkan bomba selepas terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter ketika melakukan aktiviti pendakian di Pulau Mawar, Tanjung Resang, Endau pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Endau, Asrul Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian itu pada pukul 8.36 pagi sebelum menghantar 12 anggota dari balai berkenaan ke lokasi.
Katanya, mangsa berusia 51 tahun ke lokasi berkenaan bersama 11 lagi rakannya untuk melakukan aktiviti pendakian sempena cuti umum di negeri ini.
“Difahamkan, mangsa yang tinggal di Kulai datang ke pulau itu pada pukul 7 pagi bersama kumpulan tersebut untuk melakukan aktiviti pendakian.
“Bagaimanapun, mangsa terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter. Ekoran itu rakan-rakannya bertindak menghubungi bomba untuk meminta bantuan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Asrul berkata, bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk sampai ke lokasi mangsa sebelum menemukan wanita itu yang berada berhampiran gigi air di pantai berdekatan. – UTUSAN ONLINE