Boleh rentas negeri jika lengkap dua dos vaksin Covid-19 - Utusan Malaysia

Boleh rentas negeri jika lengkap dua dos vaksin Covid-19

ADHAM Baba
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan sekali lagi membayangkan kemungkinan umat Islam boleh merentas negeri untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada pertengahan Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba bagaimanapun berkata, kebenaran khas itu tertakluk jika individu terbabit sudah pun berjaya melengkapkan sebanyak dua dos vaksinasi Covid-19.

“Saya sebenarnya memang sangat bersetuju (kebenaran rentas negeri) tetapi, mereka ini perlu juga terlebih dahulu telah habis lengkap sempurna dua suntikan imunisasi,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Hadiah bagi Kempen MyDebit anjuran kementerian itu dan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Pada 22 Mac lalu, beliau telah memberi bayangan kebarangkalian besar ada enam petunjuk yang boleh dipertimbangkan bagi merentas negeri sempena perayaan Hari Raya Puasa kelak.

Kenyataan Adham itu turut disambut baik, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika program sarapan bersama masyarakat Felcra Bukit Kepong di Pagoh Johor pada 27 Mac.

Ini disusuli reaksi positif Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika ditanya wartawan semasa sidang akhbar di pejabat beliau di ibu negara pada 30 Mac lalu.

Mengulas lanjut, Adham berkata, kelonggaran individu bebas merentas negeri sewajarnya diberi sebagai salah satu bentuk insentif untuk menggalakkan masyarakat menerima vaksin.

Justeru ujarnya, jika dibenarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kemungkinan besar lebih ramai rakyat akan tampil segera mendaftar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Setakat hari ini, lebih tujuh juta penduduk Malaysia sudah daftar diri dan kita pun ada bincang dengan MKN setelah Perdana Menteri bangkit isu boleh rentas negeri bagi Aidilfitri,” katanya.

Adham turut membayangkan, lencana vaksinasi atau pengesahan lengkap dua dos dalam aplikasi MySejahtera akan dijadikan mekanisme untuk tujuan seperti permit merentas negeri.

Namun, tegasnya, mereka yang telah lengkap dua kali suntikan berkenaan masih lagi perlu mengamalkan norma baharu termasuk prosedur operasi standard (SOP) di tempat awam.

Situasi itu kata beliau, perlu diteruskan sebagai usaha mengekang risiko penularan kerana kementeriannya tidak mahu kes naik semula apabila rentas negeri dibiarkan tidak terkawal.

“Setakat ini, kluster rentas negeri yang baharu belum muncul semula, tetapi sebelum ini negeri yang paling banyak direkodkan sebab rentas negeri ialah Kedah diikuti Perak,” tambahnya.

Pada masa ini kata beliau, kebenaran rentas negeri dibenarkan untuk tujuan pelancongan domestik antara negeri terlibat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.

Mereka perlu menggunakan agensi pelancongan berdaftar untuk membolehkan kawal selia pergerakan pihak berkuasa selain individu sektor penting yang ada surat kebenaran polis.

Beliau turut memaklumkan sehingga semalam lebih 498,000 petugas barisan hadapan sudah menerima vaksin dengan sejumlah 260,000 individu daripada mereka telah lengkap dua dos.

“Ini menunjukkan PICK berjalan lancar dan saya yakin fasa kedua melibatkan 9.3 juta rakyat akan bergerak pantas dan mungkin fasa ketiga pun boleh dianjakkan lebih awal,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN