Bicara kes rogol Paul Yong bermula hari ini - Utusan Malaysia

Bicara kes rogol Paul Yong bermula hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Selepas ditangguh beberapa kali sejak lebih setahun lalu, perbicaraan kes bekas exco kerajaan negeri, Paul Yong Choo Kiong yang didakwa merogol pembantu rumahnya pada Julai 2019 akhirnya bermula di Mahkamah Tinggi di sini hari ini dengan pihak pendakwaan dijangka memanggil 30 saksi.

Perbicaraan tersebut akan didengar di hadapan Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Bagi perbicaraan hari pertama, saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah dua jurugambar dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh iaitu Koperal P. Paul Vethamuthu dan Koperal Nik Zamri Ismail serta seorang pegawai dari Kedutaan Besar Republik Indonesia, Riki Sapari.

Sepanjang prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perak, Datuk Jamil Aripin yang dibantu dua Timbalan Pendakwa Raya, Liyana Zawani Mohd. Radzi dan Ainul Wardah Shahidan manakala pasukan pembelaan diketuai peguam Datuk Rajpal Singh.

Paul Yong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.45 pagi sambil disambut sorakan kira-kira 30 penyokongnya yang datang menaiki sebuah bas.

Turut kelihatan, Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono.

Sementara itu, Rajpal ketika ditemui di luar mahkamah memberitahu, pihak pembelaan membangkitkan isu mengenai kaedah pembuktian dan penggunaan Akta Perlindungan Saksi 2009 dalam kes tersebut.

Menurutnya, pihak pembelaan menentang penggunaan akta berkenaan yang digunakan terhadap mangsa dan saksi selain Seksyen 265 (A) Kanun Tatacara Jenayah oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan melalui pautan video.

Bagaimanapun, Abdul Wahab memutuskan, disebabkan telah lama tertangguh, prosiding diteruskan dengan memanggil saksi pertama seorang jurufoto dari IPD Ipoh diikuti dengan seorang lagi jurufoto daripada IPD sama.

Berdasarkan keputusan terdahulu, perbicaraan dijadualkan berlangsung selama sembilan hari.

Pada 23 Ogos 2019, Choo Kiong yang juga bekas Pengerusi Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu negeri didakwa merogol seorang wanita di dalam sebuah bilik di tingkat atas sebuah rumah di Meru Desa Park, Bandar Meru Raya.

Perbuatan tersebut didakwa dilakukan antara pukul 8.15 hingga 9.15 malam, 7 Julai 2019.

Pertuduhan terhadap beliau dilakukan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya