Bicara ditangguh, Anthony dikuarantin kerana kontak rapat dengan pesakit Covid-19 - Utusan Malaysia

Bicara ditangguh, Anthony dikuarantin kerana kontak rapat dengan pesakit Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pendengaran kes bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony atas pertuduhan menggunakan dokumen palsu, ditangguhkan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas tertuduh dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Peguam Datuk D. Senthinathan yang mewakili Anthony ketika memohon penangguhan perbicaraan memaklumkan bahawa anak guamnya dikuarantin selama 10 hari bermula 16 hingga 26 April ini.

Hakim Azura Alwi menetapkan perbicaraan didengar pada 3 dan 4 Mei ini.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan pihaknya tiada bantahan terhadap penangguhan sambil berseloroh memohon mahkamah menetapkan tarikh-tarikh lain sekiranya berlaku kemungkinan pihak-pihak lain yang dikuarantin gara-gara Covid-19.

Azura kemudian menetapkan tarikh-tarikh selanjutnya iaitu pada 19 Mei, 26 dan 27 Julai, 23 dan 27 Ogos, 29 dan 30 September, 28 dan 29 Oktober serta 15 dan 16 November ini.

Dalam pada itu, Wan Shaharuddin turut memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi keterangan pada salah satu tarikh pada bulan Mei.

Ujarnya, turut dipanggil semula memberi keterangan ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Tun Azmi untuk disoal balas oleh pihak pembelaan.

Menurut Wan Shaharuddin, pihak pendakwaan akan menghabiskan keterangan saksi-saksi dari Kuala Lumpur terlebih dahulu manakala tarikh selebihnya ditetapkan untuk saksi-saksi dari Sabah.

Mahkamah sepatutnya mendengar perbicaraan terhadap Anthony, 50, yang menghadapi tuduhan menggunakan dokuman palsu iaitu surat Pejabat Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering.

Dokumen palsu yang dikatakan digunakan oleh Anthony itu menyaksikan syarikat tersebut bersetuju membiayai dan mendirikan sebuah pusat Latihan Teknikal (M&E) serta pihak
UMS menyokong penuh permohonan syarikat tersebut bagi melaksanakan kerja-kerja secara rundingan terus.

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada 17 Julai 2014 di Pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap itu turut didakwa atas pertuduhan alternatif iaitu menggunakan dokumen palsu sebagai tulen membabitkan dokumen sama bagi membiayai
dan mendirikan sebuah pusat M&E di tempat dan tarikh sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Pada 11 Jun tahun lalu, Naib Presiden Parti Warisan Sabah itu didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, atas lima pertuduhan penggubahan wang haram melibatkan lebih RM8.75 juta berhubung pembelian tanah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda),

Tertuduh juga dihadapkan ke mahkamah sama pada 18 Jun tahun lalu atas pertuduhan bersubahat dalam kes pecah amanah melibatkan pembelian tanah agensi berkenaan bernilai
RM15,545,400. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya