Bersatu gesa SPR segera laksana Undi 18 tahun - Utusan Malaysia

Bersatu gesa SPR segera laksana Undi 18 tahun

HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menerajui Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menyegerakan pelaksanaan pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 berhubung kelayakan mengundi pada usia 18 tahun.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu menegaskan bahawa parti itu mengiktiraf peranan serta penglibatan aktif anak muda dalam bidang politik dan aktiviti kemasyarakatan.

“Selain itu, Bersatu akan terus fokus dan meningkatkan gerak kerja parti di setiap peringkat dalam usaha untuk membantu rakyat Malaysia yang masih terkesan akibat penularan pandemik COVID-19 dalam negara dan situasi ekonomi global yang mencabar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kenyataan itu hadir selepas Bersatu semalam mengadakan mesyuarat MPT di rumah Persatuan Alumni Universiti Malaya (UM) yang dipengerusikan oleh Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Undi 18 tahun dan pendaftaran automatik pengundi dirancang, digubal dan diusulkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada PRU-14 lalu dan diluluskan Parlimen serta mendapat sokongan 211 daripada 222 ahli pada 16 Julai 2019.

Terdahulu, media pernah melaporkan Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, Undi 18 tidak dapat diteruskan kerana pelbagai kekangan ke arah pelaksanaannya sebelum negara ini benar-benar bersedia membenarkan pendaftaran pengundi seawal usia itu.

Dalam pada itu, mengulas intipati dalam mesyuarat tersebut, Bersatu komited untuk terus memperkukuhkan kerjasama antara parti anggota PN iaitu Pas, STAR, Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).

Pada masa sama, menurutnya, Bersatu bersiap sedia untuk membantu rakan politik lain seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang setia menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri khususnya dalam menghadapi Pilihanraya Dewan Undangan Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Katanya, MPT Bersatu sebulat suara bersetuju untuk melantik 12 wakil parti itu, diketuai sendiri oleh Muhyiddin dalam Jawatankuasa Permesyuaratan antara Bersatu dan Pas di peringkat pusat bagi merangka strategi kedua-dua parti untuk menghadapi pilihan raya.

“MPT Bersatu turut memutuskan untuk menyegerakan pelantikan Ketua-ketua Bahagian Ahli Bersekutu dalam masa terdekat bagi memperkasakan dan meningkatkan lagi penglibatan ahli-ahli bersekutu Bersatu di seluruh negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya