Berpuasa tidak menjadi penghalang Salmiah terima vaksin - Utusan Malaysia

Berpuasa tidak menjadi penghalang Salmiah terima vaksin

ZAIMAH Omar, 35, menyorong ibunya, Salmiah Hussin, 89, yang berkerusi roda untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Kompleks Masyarakat Penyayang, Georgetown, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Berusia 89 tahun dan sedang menjalani ibadah berpuasa tidak menjadi penghalang buat seorang warga emas menunaikan tanggungjawab mendapatkan vaksin Covid-19 hari ini.

Walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak, Salmiah Hussin tetap datang ke ke pusat pemberian vaksin Covid-19 Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang di sini sambil ditemani anaknya, Zaimah Omar, 35.

Salmiah yang tinggal di Taman Brown di sini berkata, segala urusan untuk mendaftar vaksin Covid-19 itu diuruskan anaknya dan dia bersetuju menerima suntikan berkenaan selepas mendapat maklumat mengenai kepentingan vaksin tersebut daripada anak-anaknya.

“Saya berpuasa hari ini, tetapi, ada saya dengar mufti maklumkan kita boleh mendapatkan suntikan vaksin ketika berpuasa.

“Sebab itu, saya ambil keputusan untuk terima suntikan vaksin Covid-19 ini walaupun ketika berpuasa di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui di pusat pemberian vaksin Covid-19 Daerah Timur Laut di Kompleks Masyarakat Penyayang, di sini hari ini.

Menurut Salmiah, dia tidak mempunyai apa-apa penyakit kronik setakat ini dan berharap vaksin Covid-19 dapat membantu mengelakkan jangkitan wabak berkenaan.

Dalam pada itu, seorang lagi warga emas, Lee Ah Kim, 97, berkata, dia turut bersetuju menerima suntikan vaksin Covid-19 berkenaan kerana mahu melindungi diri dan ahli keluarga.

“Saya orang pertama di dalam keluarga yang mendapat suntikan vaksin ini, saya berharap vaksin ini dapat melindungi keluarga daripada wabak ini,” katanya.

Tambahnya, dia juga tidak takut atau bimbang untuk mendapatkan vaksin Covid-19 itu walaupun pelbagai berita bertebaran mengenai keberkesanan vaksin tersebut.

“Saya tak takut, buat apa kita perlu takut untuk perkara yang bawa kebaikan kepada semua,” ujarnya.

Dalam pada itu Tai Khoon Ying, 97, berkata, urusan pendaftarannya sebagai penerima vaksin diuruskan oleh cucunya, Warren Lo, 32, yang merupakan seorang petugas kesihatan.

“Saya tiada penyakit-penyakit kronik dan saya mahu mengambil vaksin Covid-19 ini sebagai perlindungan daripada wabak ini,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN