Berhenti kerja jaga ibu kanser, ayah buta - Utusan Malaysia

Berhenti kerja jaga ibu kanser, ayah buta

QUAH Kah Boon menolak ibunya, Leong Mei Cheng yang sukar bergerak selepas kedua-dua belah kakinya membengkak akibat penyakit kanser usus di rumah mereka di PPR Sena, Kangar, Perlis semalam.- UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dalam usia mencecah 27 tahun, Quah Kah Boon terpaksa memikul tanggungjawab besar menjaga ibunya yang mengalami kanser usus tahap tiga dan bapa yang buta.

Malah, pemuda itu yang tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sena di sini, terpaksa berhenti kerja sebagai mekanik di salah sebuah kedai tayar bagi memberi sepenuh tumpuan kepada mereka.

Bapanya, Quah Swee Choong, 55, menjadi orang kurang upaya (OKU) pada September 2010 akibat perbuatan khianat individu yang menyimpah asid sehingga mencederakan bahagian muka dan mata warga emas tersebut.

Lebih menyedihkan, pada Januari tahun sama, keluarga tersebut sekali lagi diuji apabila ibunya, Leong Mei Cheng, 49, pula disahkan menghidap kanser usus sehingga terpaksa menjalankan rawatan termasuk pembedahan serta proses kimoterapi.

Bagaimanapun, penyakit ibunya itu kembali menyerang awal tahun lalu menyebabkan anak tunggal keluarga tersebut terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini bagi menjaga kedua ibu bapanya.

Kah Boon bagaimanapun tidak pernah mengeluh dengan tanggungjawab yang harus dipikul dan beranggapan sudah menjadi kewajipannya menjaga orang tuanya yang sakit.

“Saya tidak rasa terbeban menjaga kedua ibu bapa kerana mereka sudah menjaga saya sejak kecil, jadi sekarang adalah masa saya pula membalas jasa mereka selama ini.

“Buat masa ini, saya tidak dapat bekerja kerana ibu memerlukan bantuan saya untuk bergerak kerana kedua-dua belah kakinya membengkak yang menyukarnya untuk berjalan. Perbelanjaan harian di rumah ketika ini hanya menggunakan wang simpanan yang ada sikit-sikit semasa kerja dulu,” katanya ketika ditemui selepas menerima lawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling di rumah mereka, di sini hari ini.

Sementara itu, Mei Cheng berkata, suaminya menerima bantuan OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan manakala dia pula menerima sebanyak RM200.

“Untuk rawatan, kadangkala saya perlu pergi ke hospital di Alor Setar dan Pulau Pinang. Doktor ada menyuruh saya membuat rawatan kimoterapi tetapi saya sudah tidak mahu melakukannya kerana sudah tidak tahan menanggung kesakitan. Buat masa ini saya hanya mengambil ubat untuk membantu menahan sakit,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ay Ling berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan bantuan JKM untuk Mei Cheng serta bantuan eKasih melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

“Buat masa ini, bantuan JKM kepada Mei Cheng adalah sebagai penjaga kepada OKU sahaja. Memandangkan keadaan dia juga yang sakit, mungkin ada bantuan lain dapat diberikan. Saya juga berharap orang ramai di luar sana yang bersimpati dengan keluarga ini dapat menghulurkan bantuan bagi meringankan beban mereka,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Kah Boon di talian 014-9449972 atau boleh berhubung terus dengan Ay Ling di talian 012-4012265. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya