SEREMBAN: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menasihatkan supaya pemimpin-pemimpin UMNO untuk berhenti membuat kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dalam parti.
Menurut beliau, waktu ini adalah tempoh bertenang dan sebagai pemimpin mereka perlu lebih tenang dan bijak dalam membuat kenyataan.
“Saya minta semua pemimpin-pemimpin parti janganlah buat kenyataan-kenyataan yang boleh mengeruhkan lagi suasana, berehat sekejap seminggu, bermain dengan cucu.
“Tolong, tak boleh jadi garam, jangan jadi langau, berhenti buat kenyataan, media sosial, ‘stop it please’, walaupun dalam ini (sambil memegang dada) banyak api, tapi kepala mesti sejuk, sebagai pemimpin, kepala mesti sejuk jangan keluar api,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Program Isi Minyak Percuma dan Santai Anak Muda serta Kempen Mari Daftar Vaksin Bersama Tok Mat anjuran Pemuda UMNO Bahagian Seremban di Sikamat di sini hari ini.
Sementara itu menurut Mohamad, UMNO akan terus memainkan peranan untuk memperkasakan Muafakat Nasional (MN) malah beliau juga mahu lihat kerjasama itu kekal.
“MN berjalan seperti biasa dan agenda untuk perkasakannya terus kita buat, mesyuarat-mesyurat MN di peringkat pusat kita selalu adakan dan kita ada jawatankuasa teknikal untuk kaji dan melihat cara untuk kita terus menuju ke depan.
“Apa yang disebut oleh Presiden dan Timbalan Presiden Pas itu saya rasa biarlah mereka bertenang dahulu. Tidak perlu saya respons yang akan mendatangkan keadaan lebih tidak baik, bagi saya, saya mahu lihat MN ini terus kekal dan terus diperkasakan,” katanya.