Berang kereta dibaiki masih rosak, lelaki bakar mekanik - Utusan Malaysia

Berang kereta dibaiki masih rosak, lelaki bakar mekanik

KEADAAN kecederaan yang dialami seorang mekanik akibat dibakar dengan minyak petrol oleh seorang lelaki di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah kelmarin. - UTUSAN/GAMBAR IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: Hanya kerana tidak berpuas hati kereta yang dibaiki masih rosak, seorang lelaki tergamak membakar seorang mekanik dengan menyimbah minyak petrol sebelum menyalakan api di sebuah rumah di Kampung Tersusun Balun Bidai, Kampung Gajah di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 8 malam itu menyebabkan mangsa berusia 37 tahun melecur dengan kesan terbakar 46 peratus pada bahagian kepala hingga pinggang dan kaki sebelah kanan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Barudin Wariso berkata, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku selepas suspek berusia 50 tahun itu berang apabila kereta adiknya yang dibaiki mangsa masih rosak.

Katanya, berlaku pertengkaran mulut antara suspek dan mangsa sebelum lelaki itu meminta rakannya berusia 39 tahun membeli minyak petrol di kedai runcit berhampiran.

“Setelah minyak petrol itu diperoleh, suspek kemudiannya menyimbah bahan bakar itu di atas kepala mangsa sebelum menyalakan api menggunakan penyembur aerosol dan pemetik api.

“Nyalaan api tersebut telah menyambar mangsa yang berada di halaman rumah dan menyebabkan dia terbakar. Dua beradik itu yang panik bertindak memadamkan api dengan menggunakan air paip di luar rumah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, adik suspek berusia 42 tahun telah menghubungi seorang lagi rakan mereka untuk datang ke rumah dan membawa mangsa ke Hospital Changkat Melintang dengan diberi upah RM100.

Katanya, sebelum dihantar ke hospital oleh lelaki berusia 30 tahun itu, baju dan pakaian mangsa yang terbakar telah ditukar seorang daripada suspek.

“Mangsa telah ditinggalkan di tempat letak kereta di hadapan wad kecemasan hospital. Pemeriksaan mendapati terdapat kesan terbakar pada tubuh mangsa yang ketika itu masih sedar dan mampu bercakap.

“Bertindak atas maklumat dan rakaman CCTV, polis berjaya memberkas dua beradik itu dan dua rakan subahat mereka di lokasi berasingan di Kampung Gajah, semalam,” katanya.

Tambah beliau, pemeriksaan perubatan telah dilakukan ke atas kesemua suspek dan mendapati seorang daripada mereka mempunyai kesan terbakar pada tangan kanan.

“Ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis methamphetamine dan kini direman tujuh hari bermula hari ini untuk siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya