Benarkan pendaftaran Undi18 dahulu - Syed Saddiq - Utusan Malaysia

Benarkan pendaftaran Undi18 dahulu – Syed Saddiq

SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUAR: Proses pendaftaran orang muda berusia 18 tahun sebagai pengundi perlu disegerakan kerana persiapan ke arah itu telah dimulakan sejak Julai 2019.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memaklumkan kepadanya bahawa proses Undi18 boleh dilakukan dengan segera.

“Apa yang menjadi halangan kepada SPR pada waktu itu adalah berkenaan sistem pendaftaran automatik pengundi sahaja yang memerlukan pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data serta lain-lain.

“Maka, benarkan terlebih dahulu orang muda berusia 18 tahun untuk daftar diri sebagai pengundi,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini.

Terdahulu, Syed Saddiq menyambut baik cadangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin supaya SPR mengasingkan proses hak mengundi dan pendaftaran automatik pengundi dahulu.

“SPR mendakwa bahawa pendaftaran automatik pengundi tidak boleh dibuat pada Julai 2021 kerana masalah sistem dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Walaupun saya tidak boleh menerima alasan yang diberikan SPR kerana persiapan sudah dimulakan sejak Julai 2019, tetapi fokus dan tumpuan kerajaan harus diberikan kepada hak orang muda berusia 18 tahun untuk segera dilaksanakan,” katanya.

Tambah beliau, Undi18 adalah Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan telah mendapat sokongan majoriti besar Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang pada 16 Julai 2019.

“Hari ini, Undi18 juga menuntut sokongan secara bipartisan daripada kerajaan dan pembangkang supaya pelaksanaan tersebut dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya