Belum rezeki berbuka bersama keluarga - Utusan Malaysia

Belum rezeki berbuka bersama keluarga

SEORANG daripada rakan sepasukan Khalid Yusoff memeriksa dokumen rentas daerah dikemukakan pemandu di SJR Jalan Hamzah, Kota Bharu, Kelantan. - MINGGUAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) di sini reda belum berpeluang berbuka puasa bersama ahli keluarga sempena Ramadan walaupun melaluinya buat kali kedua berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi Sarjan Mejar Khalid Yusoff, beliau tidak berpeluang berbuka puasa bersama keluarga, kecuali bersahur kerana perlu bertugas di SJR.

Sebab itu menjelang Ramadan tahun ini, dia awal-awal lagi sudah memasang niat mahu menggantikan saat berharga yang ‘hilang’ itu dengan meluangkan masa berbuka puasa di rumah.

Namun, hasrat itu tidak dapat ditunaikan kerana PKP kembali dikuatkuasakan di Kelantan.

“Secara kebetulan berlaku pada bulan Ramadan juga. Jadi, kami anggota polis yang bertugas sekali lagi perlu berbuka dan bersahur di lokasi SJR.

“Nampaknya, belum ada rezeki untuk saya berbuka dengan keluarga tercinta. Demi memastikan ancaman Covid-19 ini berakhir, saya reda dan akan menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Khalid yang ditemui ketika bertugas di SJR Jalan Hamzah, di sini berkata, sepanjang PKP, dia dan rakan sepasukan sudah lali berpanas dan berhujan, namun pada bulan Ramadan dugaan lebih hebat kerana mereka bertugas ketika sedang berpuasa.

“Sebagai anggota polis, menjadi kewajiban kami memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) setiap masa 24 jam sehari, lebih-lebih lagi apabila PKP dikenakan di tujuh daerah di negeri ini.

“Ketika azan Maghrib, kami berbuka puasa secara bergilir-gilir kerana kawalan di SJR tidak boleh ditinggalkan sama sekali tanpa ada anggota bertugas di situ,” katanya berasal dari Melaka.

Pasukannya yang membuat SJR di Jalan Hamzah itu terdiri daripada lapan anggota kesemuanya dan mereka turut dibantu para sukarelawan polis serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Tinjauan Utusan Malaysia di situ mendapati, terdapat pemandu kenderaan gagal mengemukakan surat kebenaran rentas daerah yang sah menyebabkan mereka diarahkan berpatah balik.

Dalam tempoh setengah jam, lebih 20 kenderaan diarah berpatah balik sekali gus menunjukkan masih ramai belum faham atau mungkin mengambil ringan tentang larangan merentas daerah sepanjang PKP kali ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya