KANGAR : Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi belum memanggil ahli Majlis Tertinggi (MT) bagi memberi penjelasan berhubung sejauh mana kebenaran audio perbualan antara beliau bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid memberitahu, Ahmad Zahid telah pun membuat kenyataan menafikan perkara tersebut dan mereka juga tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku.
Malah, Mahdzir juga menyarankan Ahmad Zahid segera membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menyiasat berhubung isu tersebut.
“Seelok-eloknya, saya ingat semua ahli parti perlu bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa mengambil tindakan lanjut.
“Ahmad Zahid telah membuat penafian rakaman perbualan itu. Kita pun tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku sama ada unsur khianat atau tidak. Kita serah kepada pihak berkuasa siasat,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan rumah projek Baiti Jannati dan Projek Mesra Rakyat Tenaga Nasional Berhad (TNB) peringkat negeri ini di salah sebuah hotel di sini hari ini.
Rakaman kira-kira empat minit itu telah tersebar melibatkan suara mirip Ahmad Zahid dan Anwar berhubung apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 pada akhir bulan lalu.
Dalam rakaman tersebut, suara mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Zahid kerana berjaya mengendalikan Perhimpunan Agung UMNO.
Selain itu, suara yang didakwa Ahmad Zahid itu berkata, apa yang diucapkan ketika Perhimpunan Agung UMNO hanya bersifat taktikal.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid dan Anwar telah menafikan suara dalam audio berkenaan adalah miliknya dan masing-masing berkata akan membuat laporan polis.
Sementara itu, ditanya mengenai desakan sesetengah pemimpin agar pemilihan parti segera diadakan, Mahdzir berkata, pemilihan boleh diadakan dengan bergantung kepada bila pilihan raya umum akan diadakan.
“Kalau pemilihan parti diadakan bertembung dengan pilihan raya adalah amat tidak sesuai. Ia boleh ditangguh dulu (pemilihan parti),” katanya.- UTUSAN ONLINE