JOHOR BAHRU: Setiap satu peratus rumah yang dibeli di bawah IOI Properties akan disumbangkan kepada Tabung Endowmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang antara lain akan membantu warga universiti itu terutamanya para pelajar.
Inisiatif itu diambil universiti berkenaan selepas sambutan hangat yang diterima pihaknya hasil daripada penjualan nombor plat kenderaan ‘UTM’, baru-baru ini.
Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Ahmad Fauzi Ismail berkata, warga UTM serta saudara-mara mereka juga akan mendapat diskaun harga menarik daripada setiap harga hartanah yang dibeli.
“Kerjasama ini memberi tiga makna penting kepada UTM iaitu memperluas kerjasama dengan pihak industri, kebajikan kepada warga kerja universiti dan juga keluarga mereka yang belum memiliki rumah kediaman sendiri untuk membeli rumah dengan bayaran bulanan yang rendah.
“Melalui promosi ini juga, kebajikan mahasiswa UTM dari keluarga kurang berkemampuan juga dapat dipertingkat melalui bantuan yang bakal diberikan di mana IOI Properties bersetuju memberi sumbangan ke Tabung Endowmen UTM atas pembelian setiap unit kediaman oleh warga UTM dan keluarga mereka,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Fauzi berkata, promosi itu merupakan kerjasama antara UTM dengan syarikat hartanah IOI Properties sempena Promosi Jualan Hartanah IOI Properties.
Melalui promosi itu, warga UTM berpeluang mendapat diskaun harga sehingga 25 peratus selain menikmati bayaran guaman percuma manakala tempahan sehingga 17 April ini berpeluang mendapat kabinet dapur percuma.
Antara unit kediaman yang boleh dipilih pembeli adalah unit kediaman apartment D’Summit dan The Platino serta rumah teres dan Semi-D iaitu Oleander, Florencia dan Viscosa.
Sementara itu, Penolong Pengurus Besar IOI Properties Johor, Nor Izuddin Md. Kassim turut berbangga kerana IOI Properties dapat menjalin kerjasama strategik dengan pihak UTM.
“Promosi yang melibatkan unit kediaman di D’Summit dan The Platino ini adalah untuk peringkat permulaan dan sebagai percubaan promosi.
“Jika promosi ini berjalan lancar dan mendapat sambutan memberangsangkan, IOI Properties tiada masalah untuk meluaskan promosi serupa ke projek-projek lain,” ujarnya sambil memaklumkan promosi ini adalah untuk tempoh setahun atau sehingga semua unit habis terjual.
Warga UTM yang berminat boleh menghubungi Pejabat Pemasaran IOI Properties di talian 07-559 0101 atau 07-232 0101 serta Unit Endowmen UTM di talian 07-553 1024. -UTUSAN ONLINE