Belanja tanpa tunai Ramadan ini - Utusan Malaysia

Belanja tanpa tunai Ramadan ini

HAMDAN Hussin (kiri) menyampaikan permit kepada 19 penganjur Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di Lobi Kompleks MBK di Kuantan, Pahang. UTUSAN/ DIANA SURYA ABD WAHAB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kaedah bayaran tanpa tunai dilaksanakan secara berperingkat di semua tapak Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri membabitkan 30 lokasi di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).

Datuk Bandar, Datuk Hamdan Hussin berkata, pelaksanaannya masih di peringkat awal dan akan diperluaskan secara berperingkat-peringkat bermula hari pertama Ramadan.

“Dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) semasa musim Covid-19 ini, MBK mendapati kaedah tersebut sesuai dengan situasi penularan pandemik ketika ini, maka, pembeli digalakkan berurus niaga secara ‘cashless’.

“Pihak MBK telah bekerjasama dengan beberapa bank bagi menyediakan kemudahan perkhidmatan ini. Namun, pada peringkat permulaan ini… kita sekadar galakkan penggunaan dalam kalangan peniaga dan pelanggan di Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri.

“Kita yakin kaedah ini sudah dipraktikkan dalam kehidupan memandangkan kita sudah setahun berdepan dengan wabak Covid-19 dan ia pasti tidak menyukarkan pengguna,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Permit Penganjuran Pasar Ramadan dan Bazar Aidilfitri 2021 di Lobi Kompleks MBK di sini hari ini.

Sebanyak 30 tapak penjualan melibatkan 19 penganjur diluluskan membabitkan 26 lokasi penganjuran Pasar Ramadan manakala empat Bazar Aidilfitri dengan jumlah keseluruhan peniaga seramai 1,008 orang.

Dalam pada itu, Hamdan berkata penganjur dan peniaga harus mematuhi SOP ditetapkan bagi mengelak permit mereka ditarik balik sekali gus dikenakan tindakan undang-undang.

“Waktu perniagaan bagi Pasar Ramadan adalah dari pukul 3 petang hingga 8 malam bermula 13 April hingga 12 Mei depan dan aktiviti yang dibenarkan adalah jualan makan dan minuman sahaja.

“Waktu perniagaan bagi Bazar Aidilfitri bermula pukul 12 tengahari hingga 12 te1ngah malam bermula 17 April hingga 12 Mei depan dan hanya menjual barangan kering dan pelbagai sahaja… tidak dibenarkan jualan makanan dan minuman termasuklah jualan air dan buah-buahan dalam tong.

“Peniaga juga hendaklah mengehadkan bilangan kemasukan pelanggan dengan menetapkan dua pelanggan sahaja yang boleh berada di khemah dan premis jualan pada satu-satu masa,” katanya.

Sementara itu, katanya, tiada sebarang kenaikan kadar permit perniagaan dikenakan pada Ramadan tahun ini.

“Kadar permit berkenaan masih dikekalkan pada kadar yang sama sejak 2019 lagi. Bagi penjualan makanan dan minuman sebanyak RM180.50 dikenakan manakala RM280.50 bagi jualan air tebu dan kelapa dan RM300 untuk penjualan pelbagai,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya