Bekas wartawan Utusan Malaysia jadi peguam - Utusan Malaysia

Bekas wartawan Utusan Malaysia jadi peguam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas wartawan Utusan Malaysia, Opat Rattanachot Aisin, merupakan antara empat orang yang diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya di sini, hari ini.

Penerimaan masuk Opat, 42, yang juga bekas Penolong Ketua Meja Jenayah Utusan Malaysia disempurnakan melalui prosiding di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Arik Sanusi Yeop Johari.

Dalam prosiding hari ini, Opat adalah pempetisyen paling kanan dari segi usia yang diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara.

Terdahulu, peguam Md. Yusuf Md. Idris selaku pengusul memperkenalkan Opat dengan membacakan latar belakang beliau selaku pempetisyen.

Md. Yusuf dalam ucapan usul itu berkata, Opat yang merupakan etnik minoriti Siam di Malaysia meminati bidang undang-undang ketika bertugas sebagai wartawan di Sungai Petani, yang sering kali berpeluang membuat liputan dan mengenali rapat beberapa peguam di mahkamah.

“Bertitik-tolak daripada perasaan ingin tahu tentang bagaimana corak pemikiran seseorang peguam dan hakim, ia mendorong Opat mengambil keputusan melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens secara eksternal atau sambilan di Universiti Malaya (UM) pada 2002,” katanya.

Namun, beliau berkata, laluan dalam pengajian undang-undang tidak semudah kerana selain kesibukan tugas sebagai wartawan sepenuh masa, Opat juga mempunyai pelbagai kekangan termasuk komitmen dari segi keluarga, khususnya mempunyai seorag anak kecil ketika itu.

“Namun, berkat kegigihan dan usaha berterusan selama empat tahun, akhirnya pada tahun 2017, berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens (Eksternal) dari UM” katanya.

Selain itu, Opat juga lulus Sijil Amalan Guaman (CLP) untuk melayakkannya menjadi peguam
pada November 2019.

Katanya, pada Oktober tahun lalu pula, Opat menamatkan latihan dalam kamar di bawah kelolaan peguam Bun Liang di Tetuan Bun & Associates di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Selepas ucapan usul dibacakan Md. Yusuf dan tidak mendapat bantahan daripada Jabatan Peguam Negara serta Majlis Peguam Malaysia, Bun Liang kemudian menyarungkan jubah kepada Opat.

Sementara itu, Opat yang juga siswazah Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata, dengan berbekalkan pengalaman dalam media massa dan gabungan pengetahuan dalam bidang undang-undang, beliau berazam akan terlibat secara aktif dalam membantu ahli masyarakat

“Saya juga bertekad akan terus memainkan peranan sebagai seorang ‘wartawan rakyat’ dan pada masa sama menggalas tugas sebagai seorang peguam yang berintegriti tinggi serta penuh beretika dalam usaha meningkatkan lagi literasi undang-undang dalam kalangan orang awam,” katanya.

Selain Opat, tiga lagi yang diterima masuk sebagai Peguam Bela & Peguam Cara dalam
prosiding itu ialah Nur Amalina Abd Rahman, Nur Aishah Abdul Kadir dan Nurul Aziera Ahmad Yazi.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya