Bekas Penolong Eksekutif Felcra didakwa pecah amanah - Utusan Malaysia

Bekas Penolong Eksekutif Felcra didakwa pecah amanah

MOHD. Haire Aw Sudin (tengah, bertopi) ketika hadir di Mahkamah Seksyen Kuantan di Kuantan, Pahang. - UTUSAN/DIANA SURYA ABD WAHAB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Bekas Penolong Eksekutif Pembangunan Peserta Felcra Berhad Kawasan Anak Endau di Rompin didakwa di Mahkamah Seksyen Kuantan di sini, hari ini atas empat pertuduhan menipu dan memalsukan buku akaun milik majikannya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd. Haire Aw Sudin, 43, mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd. Zani.

Berdasarkan kesemua kertas pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menipu dan memalsukan kira-kira di dalam buku akaun Impress Tabung Kebajikan Peserta (AJKKP) Felcra Berhad Kawasan Anak Endau milik majikannya.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu di pejabat Felcra Berhad Kawasan Anak Endau, Rompin antara Januari hingga April 2018.

Dengan itu, Mohd. Haire didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 477A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen dan kanun sama.

Jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan itu beserta beberapa syarat tambahan.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu wang jaminan dikurangkan kerana diberhentikan kerja pada tahun lalu dan tidak mempunyai pendapatan tetap malah perlu menanggung ibu bapa yang uzur, isteri dan dua orang anak orang kurang upaya (OKU).

Menurut tertuduh , kedua-dua paha, bahu dan hidungnya mengalami kecederaan akibat kemalangan sekitar Mei 2018 mengakibatkannya tidak boleh melakukan kerja berat setelah dinasihatkan doktor.

Dengan itu, mahkamah membenarkan rayuan tertuduh dengan ikat jamin RM14,000 bagi kesemua pertuduhan dan perlu melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM terdekat serta menyerahkan pasport antarabangsa sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan 5 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya