Bekas Pengerusi Bersatu Johor nafi sertai UMNO - Utusan Malaysia

Bekas Pengerusi Bersatu Johor nafi sertai UMNO

MAZLAN BUJANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor, Mazlan Bujang menafikan dakwaan akan melompat parti menyertai UMNO.

Mazlan berkata, dakwaan tersebut adalah persepsi sesetengah pihak sahaja dan dalam soal berpolitik, pelbagai andaian boleh dibuat sesiapa pun.

“Itu hanyalah persepsi sahaja, saya tak pernah lompat parti pun, tetapi, parti saya yang melompat (meninggalkan Pakatan Harapan).

“Persepsi ini, macam-macam andaian boleh dibuat. Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pun ada yang cakap akan kembali ke pangkuan UMNO.

“Tak adalah (sertai UMNO). Saya masih lagi ahli Bersatu sejak ia ditubuhkan sehinggalah sekarang dan duduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa,” katanya ketika ditemui pemberita di Kompleks Penerangan Dan Penyiaran Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri berkata demikian bagi mengulas dakwaan terhadapnya yang dilabel sebagai pro-UMNO setelah dikatakan kerap tidak menghadiri program anjuran parti sendiri.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau itu tidak menghadiri mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor yang dipengerusikan Muhyiddin di Putrajaya, semalam.

“Semalam, kebetulan ada Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Johor dan mesyuarat parti pun buat tarikh yang sama. Jadi, selaku Exco kerajaan kerajaan negeri yang menjunjung titah Sultan untuk utamakan hal-hal berkaitan rakyat dalam keadaan pandemik Covid-19 ini.

“Jadi, kita kurangkan pasal parti ini, kita lebihkan fokus pasal pengurusan rakyat. Mesyuarat Exco ni penting, kena hadir bagi membincang hala tuju kerajaan negeri,” ujarnya.

Mazlan berkata, biarpun tidak hadir tetapi beliau tetap menghantar wakil dan tahu inti pati serta keputusan yang dibuat dalam mesyuarat berkenaan.

Ditanya mengenai pendirian politiknya, Mazlan enggan memberikan jawapan yang tepat, namun, cuma masih mengaku kekal sebagai ahli Bersatu.

“Setakat ini, saya macam inilah. Tapi politik ni boleh berubah-ubah, Presiden Bersatu (Muhyiddin) pun asal daripada UMNO, akhirnya menubuhkan parti baru, apatah lagi politik ni kadang-kadang kita tidak boleh jangka apa yang berlaku esok, lusa macam-macam boleh berlaku.

“Lagipun dalam sistem demokrasi, ia tidak menghalang sesiapa nak masuk parti mana. Tak ada dalam akta boleh menghalang orang nak masuk parti mana,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya