KUALA LUMPUR: Bekas pegawai Jabatan Imigresen antara yang bersekongkol dengan ahli perniagaan bergelar Datuk yang dipercayai terlibat dalam sindiket pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud mendedahkan, hasil kegiatan yang dilakukan sejak tahun lalu dianggarkan kira-kira 21,338 pas PLKS palsu telah dicetak oleh sindiket ini dengan bayaran antara RM6,000 sehingga RM8,000 bagi setiap PLKS.
Kata beliau, bekas pegawai terbabit antara individu yang menjadi penghubung dalam mendapatkan akses ke sistem tersebut.
Jelasnya, setakat ini, kebanyakan mereka yang dikesan memiliki PLKS palsu ini adalah warga Pakistan, Bangladesh dan Indonesia yang terlibat dalam sektor perkhidmatan, perkilangan serta perladangan.
“Kita akan mengesan kesemua pemilik-pemilik PLKS yang tidak sah tersebut menerusi operasi-operasi yang sedang giat dijalankan.
“Mana-mana warga asing yang didapati menggunakan PLKS palsu ini kita akan senaraihitamkan serta-merta,” katanya dalam sidang akhbar khas di Ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE