PETALING JAYA: Satu sebab terbesar mengapa ramai yang belum menerima janji temu untuk vaksinasi Covid-19 disebabkan permintaan melebihi penawaran selain bekalan vaksin rendah di negara ini dan juga di negara-negara berpendapatan sederhana yang lain.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, ini adalah kerana negara-negara kaya telah mengepung pasaran vaksin Covid-19.
“Beberapa negara kaya telah membeli vaksin tiga hingga lima kali lebih banyak daripada warganya. Banyak syarikat farmaseutikal lebih memilih negara kaya atas sebab yang jelas.
“Itulah sebabnya Malaysia terpaksa mengimbangi portfolio vaksin Covid-19 untuk memasukkan Pfizer, AstraZeneca dan juga vaksin dari negara-negara bukan Barat seperti Sinovac (China),” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau yang juga bertanggungjawab untuk program vaksinasi Covid-19 negara mengakui bahawa orang ramai bertanya mengapa mereka belum menerima janji temu vaksinasi.
Ini kerana Fasa 2 vaksinasi berkenaan yang melibatkan individu berumur 60 tahun ke atas serta golongan berisiko yang mempunyai penyakit kronik sepatutnya bermula minggu depan.
“Terdapat kekhuatiran yang dinyatakan mengenai vaksinasi Covid-19 di Malaysia. Orang ramai bertanya-tanya mengapa kadar vaksinasi kelihatan perlahan. Orang yang telah mendaftar pada bulan Februari bertanya bila mereka akan mendapat janji temu,” katanya.
Khairy mengatakan dia menjangkakan vaksinasi besar-besaran di negara ini akan dilaksanakan Jun.
Beliau juga memberi jaminan bekalan yang mencukupi untuk vaksinasi 80 peratus penduduk pada akhir tahun ini.
“Buat masa ini, permintaan melebihi penawaran,” ujarnya.
Khairy berjanji akan mendorong pembekal vaksin untuk membuat penghantaran lebih cepat.
“Oleh kerana saya tahu semua orang ingin mendapatkan vaksinasi Covid-19 mereka, saya harus mengatur jangkaan berdasarkan bekalan vaksin.
“Saya akan terus mendesak agar lebih banyak bekalan vaksin tiba lebih cepat. Sementara itu, harap jaga prosedur operasi standard (SOP) dan dalam beberapa bulan mendatang, anda akan mendapat pemberitahuan di aplikasi MySejahtera atau melalui SMS yang memberitahu anda mengenai janji temu vaksinasi anda,” katanya. -UTUSAN ONLINE