Bekalan minyak masak kepada peruncit makin kurang - Utusan Malaysia

Bekalan minyak masak kepada peruncit makin kurang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Kenaikan harga minyak masak botol bagi berat lima kilogram sehingga RM29 membebankan pengguna dan peniaga.

Peniaga di sini yang ditemui berkata, harga itu begitu tinggi berbanding RM21.50 hingga RM22.90 pada Januari lalu.

Seorang peniaga, Nur Juliana, 25, berkata, berikutan itu, peniaga runcit sepertinya tidak lagi menerima bekalan minyak masak seperti biasa meskipun mendapat permintaan yang tinggi daripada pembeli.

Katanya, malah minggu lalu peniaga di sini kehabisan bekalan minyak masak disebabkan kenaikan harga bahan masak itu.

“Minggu lalu kami kehabisan stok minyak masak dan kami hanya menerima stok baharu minyak masak pada hari Rabu lepas.

“Selalunya kami mengambil 30 kotak minyak masak berpaket daripada pembekal tetapi sekarang kami hanya dapat 15 kotak minyak masa berpaket sahaja.

“Saya berharap kerajaan memandang serius isu ini dengan turun padang dan memantau harga daripada pembekal atau kilang,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Seorang peniaga kedai runcit, Nur Hazawani Zabidi, 22, berkata, harga minyak masak yang naik sehingga RM29 bagi botol lima kilogram berbanding RM27.90 sebelum ini membebankan peniaga sepertinya.

“Bagi minyak masak berpaket, kami hanya boleh dapat untung kasar dalam 20 sen sahaja. Berikutan harga minyak masak yang naik, ini menjejaskan perniagaan kami yang perlu membayar bil utiliti seperti sewa, air, elektrik dan upah pekerja,” katanya.

Selain harga minyak masak yang naik, isu harga siling ayam bersih RM7.90 di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa 2021 (SHMMP) yang bermula rabu lalu masih menjadi beban kepada peniaga.

Nur Hazawani berkata, harga siling ayam RM7.90 menyebabkan perniagaannya tak balik modal.

“Harga siling ayam yang ditetapkan tidak relevan. Kami beli RM7.80 sekilogram dan menjualnya RM7.90 sekilogram. Kami hanya dapat keuntungan kasar 10 sen sahaja kerana kami beli ayam segar.

“Jadi bagaimana kami hendak menampung kos utiliti seperti sewa, bil elektrik, bil air dan kos upah pekerja jika hasil jualan tidak cukup?” katanya.

Menurut Nur Hazawani, akibatnya buat masa ini dia terpaksa mengurangkan stok bekalan ayam dari 100 ekor sehari kepada 70 ekor sehari.

“Ini bagi menjimatkan kos penyelenggaraan. Kami perlu kurangkan bekalan ayam kerana kaedah penyimpanannya menggunakan ais batu agar kualiti ayam tidak terjejas juga memerlukan modal,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN