BALIK PULAU: Bedak sejuk adalah antara produk warisan yang semakin dilupakan berikutan terlalu banyak produk kecantikan moden yang memonopoli pasaran pada masa ini.
Namun bagi seorang peniaga bedak sejuk di Kampung Jalan Baru di sini, Zaimah Jamaludin, 47, dia berbangga kerana masih mampu meneruskan perniagaan produk bedak sejuk yang merupakan legasi keluarganya.
Zaimah berkata, walaupun pandemik Covid-19 melanda, permintaan bedak sejuk Warisan Ibu sentiasa ada kerana pelanggan yakin dengan khasiat perubatan yang terdapat di dalam produk berkenaan.
Ibu kepada lima anak itu berkata, dia memulakan perniagaan memproses dan menjual bedak sejuk itu sejak 2004 di rumahnya di Kampung Jalan Bharu, di sini secara kecil-kecilan sehingga sekarang.
“Proses penghasilan bedak sejuk tidak terlalu rumit namun memerlukan kesabaran.
“Beras perlu direndam sekitar tiga bulan dan selepas cukup tempoh akan dikisar serta ditapis semula selama lima hari untuk memastikan adunan beras kisar ini benar-benar sebati,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di kiosk miliknya di Jalan Bharu, di sini semalam.
Menurut Zaimah, bagi menghasilkan bedak sejuk yang halus, beras yang dikisar digaul semula dengan air untuk dititikkan di atas kain dan kemudian campuran beras dan air yang menjadi halus itu akan dijemur menggunakan cahaya matahari.
“Bagi mengharumkan bedak sejuk ini, saya menggunakan daun pandan yang dihiris halus ketika menjemurnya, ada juga campuran bahan lain seperti bunga ros untuk mengharumkan lagi bedak sejuk ini,” katanya.
Bedak sejuk Warisan Ibu itu dijual pada harga RM16 sekilogram bagi yang biasa dan RM26 sekilogram untuk jenis lain.
”Bagi yang siap dibungkus, harganya hanya RM3 untuk bungkusan kecil dan RM6 untuk bungkusan besar. Orang ramai boleh berhubung di Facebook saya, Zaimah Jamaluddin untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai produk ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE