KUALA TERENGGANU: Selepas dua hari diarahkan tutup kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19, peniaga bazar Ramadan Tok Adis di Kuala Ibai di sini boleh menarik nafas lega kerana dapat kembali berniaga seperti biasa esok.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, kebenaran beroperasi itu diberikan lebih awal berbanding perintah penutupan yang dikuatkuasakan selama dua minggu hingga 30 April ini.
Katanya, pihak penganjur memberi jaminan untuk mematuhi SOP ditetapkan agar diikutii peniaga dan pengunjung.
“Bagaimanapun, bazar itu masih dalam pemantauan Jabatan Kesihatan negeri,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Bazar Ramadan Tok Adis adalah bazar pertama yang diarah tutup sementara di Terengganu. – UTUSAN ONLINE