KEPALA BATAS: Penganjur sebuah bazar Aidilfitri di Bertam dekat sini diberikan notis amaran oleh pihak berkuasa selepas didapati sesak dan gagal mengawal jumlah kehadiran pengunjung malam tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, menerusi pemeriksaan bermula pukul 9 malam itu, pihaknya mendapati kira-kira 300 pengunjung berada di bazar terbabit.
Tambahnya, hasil pemantauan mendapati meskipun pihak penganjur menyediakan laluan keluar dan masuk namun gagal mengawal jumlah kemasukan dan kepadatan pengunjung di dalam tapak karnival.
“Satu notis amaran dikeluarkan oleh wakil Kementerian Kesihatan dan satu notis menghendaki kacau ganggu dihapuskan dikeluarkan wakil Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun berpuas hati apabila penganjur mengambil bacaan suhu, menyediakan cecair pembasmi kuman, penjarakan fizikal, rekod pengunjung, sanitasi premis, pemakaian pelitup muka dan penggunaan aplikasi MySejahtera. – UTUSAN ONLINE