'Bawalah sendiri bekas makanan jika ke bazar Ramadan' - Utusan Malaysia

‘Bawalah sendiri bekas makanan jika ke bazar Ramadan’

PENGGUNAAN bekas makanan ketika membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan dapat mengurangkan penggunaan bungkusan plastik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) menggalakkan orang ramai membawa bekas makanan dan minuman sendiri serta beg yang boleh diguna semula ketika berkunjung ke bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, amalan tersebut penting bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna memandangkan kebanyakan makanan dan minuman di bazar Ramadan dijual dalam bungkusan plastik.

“Peningkatan sisa plastik bungkusan makanan di bulan Ramadan dikhuatiri menyumbang kepada pencemaran alam sekitar secara berterusan. Oleh itu sudah tiba masanya kita mewujudkan budaya baharu iaitu ‘tapau’ juadah berbuka puasa dengan menggunakan bekas yang dibawa sendiri seperti mangkuk tingkat, bekas makanan serta beg kitar semula.

“Jika kita memulakan budaya ini, tidak mustahil ia akan menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan seharian dan seterusnya dapat mengurangkan penggunaan plastik serta sisa yang dijana. Selain itu makanan yang disimpan dalam bekas makanan sendiri lebih terjamin kebersihannya serta boleh terus dihidang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut Mohd. Norlisam, membawa bekas sendiri dan beg kitar semula ke bazar Ramadan juga menyokong salah satu elemen dalam kempen kesedaran ‘reduce, reuse, recycle’ atau 3R yang merujuk kepada pengurangan sisa yang dijana termasuk sisa plastik.

“Walaupun perubahan yang dilakukan ini nampak kecil tetapi mampu memberi impak yang besar dalam jangka masa panjang termasuk menyelamatkan alam sekitar daripada dicemari lambakan sisa plastik,” katanya.

Menurutnya, SWM Environment juga membawa mesej kesedaran meraikan bulan Ramadan dengan kebiasaan baharu bagi mengelakkan pembaziran makanan.

Berdasarkan kepada tahun-tahun sebelum ini, kadar sisa makanan dijangka meningkat sebanyak 20 peratus apabila tiba bulan Ramadan.

“Oleh itu, SWM Environment menyeru masyarakat agar lebih menghargai makanan dengan membeli juadah berbuka mengikut keperluan. Sekiranya ada lebihan makanan jangan terus dibuang sebaliknya boleh diberikan kepada pihak yang memerlukan.

“Langkah ini bukan saja dapat mengelakkan pembaziran dan menjimatkan wang malah dapat mengurangkan penjanaan sisa makanan yang dibuang ke tapak pelupusan sampah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya