Batalkan pindah milik tanah rizab Melayu secara tidak sah - Utusan Malaysia

Batalkan pindah milik tanah rizab Melayu secara tidak sah

HAMIDAH OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kongres Kembalikan Hak Yang Hilang anjuran Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak sini, hari ini merumus beberapa resolusi penting sebagai tuntutan kepada kerajaan untuk menyelesaian isu tanah rizab Melayu yang semakin hilang.

Pengerusi Putra Perak, Datuk Hamidah Osman berkata, kongres antara lain menuntut tanah rizab Melayu yang telah dipindah milik kepada bukan Melayu secara tidak sah tanpa pembatalan, dibatalkan pendaftaran hakmilik dan dikembalikan semula kepada pihak berkuasa negeri.

Katanya, selain itu tanah rizab yang telah dibatalkan tetapi tidak mengikut prosedur undang-undang iaitu tanpa penggantian serta merta, tidak diganti, diganti tanpa ‘similar in character’ juga hendaklah dibatalkan dan dikembalikan kepada pihak berkuasa negeri dengan mengekalkan status tanah rizab Melayu.

“Kongres juga menuntut kerajaan negeri serius dalam mempertingkatkan usaha bagi memastikan peratusan rizab tanah Melayu mencapai 50 peratus daripada keluasan tanah di negara ini dapat dijadikan satu realiti.

“Untuk itu, kongres juga menuntut diwujudkan pangkalan data tanah rizab Melayu dalam pentadbiran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) yang boleh diakses oleh orang awam,” katanya ketika membentangkan kertas kerja di kongres tersebut hari ini.

Kongres dihadiri Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali.

Hamidah berkata, tanah rizab Melayu perlu dipertahankan kerana ia lambang kedaulatan dan keistimewaan bagi orang Melayu untuk menjamin ketuanan bangsa Melayu.

“Namun tanah rizab Melayu semakin banyak hilang dan kini hanya tinggal sebanyak 11.9 peratus sahaja di seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, untuk itu, kongres juga menuntut pembangunan tanah rizab Melayu dijadikan agenda penting kerajaan bagi menjanakan ekonomi dan meningkatkan taraf hidup orang Melayu.

Katanya, kerajaan negeri juga hendaklah menamatkan pewartaan tanah rizab Melayu ke atas tanah wakaf, tanah kubur, tapak masjid dan surau serta tapak pejabat agama.

“Kongres juga menuntut diwujudkan Majlis Tanah Rizab Melayu (MTRM) yang dipengerusikan oleh sultan-sultan disetiap negeri bagi memantau dan menyelianya.

“Selain itu, amalan parking lot tanah yang diluluskan kepada badan berkanun negeri tanpa had masa perlu dihentikan kerana ia menafikan hak rakyat untuk memohon tanah tersebut,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya