PUTRAJAYA: Jumlah pesalah kes ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seluruh negara semalam naik semula dengan 94 individu ditahan semalam berbanding 64 individu diberkas kelmarin.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah berkenaan, seramai 93 dikompaun manakala seorang direman dengan kes tertinggi iaitu premis dibuka lebih masa sebanyak 44 kes.
Katanya, ini diikuti rentas negeri (17), tiada pelitup muka (15), tidak patuh jarak fizikal (sembilan), gagal merekod butiran diri melalui aplikasi MySejahtera (enam) dan aktiviti pusat hiburan (tiga).
Mereka ujar beliau, dicekup Task Force Operasi Pematuhan diketuai polis yang melakukan 66,321 pemeriksaan melibatkan penugasan sejumlah 3,576 pasukan membabitkan seramai 15,604 anggota.
“Seramai 14 orang pendatang asing tanpa izin ditahan melalui Operasi Benteng selain sebanyak 77 buah bot atau kapal yang dicurigai telah dikesan berdekatan dengan perairan negara melalui empat aktiviti penglihatan oleh pasukan keselamatan,” tegas Ismail Sabri.
Katanya, tujuh buah kenderaan darat juga disita semalam manakala 256 sekatan jalan raya di seluruh negara dengan sembilan melibatkan Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) dan 50 oleh polis.
Menyentuh isu kuarantin wajib, seramai 1,096 individu tiba di tanah air semalam dengan kesemuanya telah diarah untuk menjalani proses mandatori itu di sejumlah stesen kuarantin.
“Sejumlah 7,451 individu terbabit masih lagi menjalani proses kuarantin wajib di 75 hotel serta lapan institusi lain dengan 1,315 individu daripadanya dibawa ke hospital untuk menerima rawatan, manakala 159,733 individu lagi sudah dibenarkan balik ke rumah masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, hanya seorang pekerja asing positif Covid-19 setelah menjalani ujian saringan di seluruh negara semalam dengan 421 pekerja warga asing menjalani proses itu.
Secara kumulatif jelas beliau lagi, sejak 1 Disember lalu, seramai 678,111 individu telah pun selesai melakukan ujian mandatori itu yang melibatkan penyertaan sejumlah 35,094 majikan dengan 10,200 pekerja warga asing disahkan positif.- UTUSAN ONLINE