SEREMBAN: Seramai 200 orang gelandangan di daerah ini disasar untuk didaftar bagi mengambil vaksin Covid-19 menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.
Pendaftaran tersebut akan dibuat di Pusat Gelandangan Dapur Kausar di sini yang merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menjadi tempat tumpuan gelandangan mendapatkan tempat tinggal dan makanan.
Koordinator Barisan Nasional Youth Volunteer (BNYV) Negeri Sembilan, Muhammad Fiqri Firdaus Muhammad Rom berkata, pihaknya mengambil langkah mendaftarkan gelandangan bagi memastikan golongan tersebut tidak tertinggal sebagai penerima vaksin.
“Program ini turut mendapat kerjasama pelajar bidang komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang. Gelandangan yang tidak mempunyai tempat tinggal ini terdedah kepada jangkitan wabak Covid-19 dan kami bimbang dengan risiko kesihatan yang bakal mereka hadapi.
“Usaha ini diharap dapat membantu membolehkan gelandangan berdaftarsebagai penerima vaksin dan pada masa sama kami menyantuni mereka,” katanya di Pusat Gelandangan Dapur Kausar di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba menegaskan kempen pendaftaran vaksinasi perlu digiatkan terutama kepada golongan berusia 60 tahun ke atas, gelandangan serta pendatang asing tanpa izin.
Sementara itu, ketua sukarelawan dari UPM, Mohd. Faizuan Abdul Rashid menzahirkan rasa teruja kerana diberi peluang bagi menjayakan program tersebut.
“Atas kesedaran dan kepentingan menyekat penularan pandemik Covid-19, saya bersama rakan lain tampil secara sukarela ingin membantu BNYV dan Dapur Kausar menjayakan program baik ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE