Banteras peniaga tekan pengguna - PM - Utusan Malaysia

Banteras peniaga tekan pengguna – PM

MUHYIDDIN Yassin melihat buku cenderamata sempena lawatan ke KPDNHEP, Putrajaya.- UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan perlu memastikan supaya aktiviti tidak beretika yang menekan dan membebankan pengguna dapat dibanteras dengan lebih menyeluruh dan berkesan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, kerajaan menyedari tindakan sebilangan pemborong atau peniaga yang mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga barangan keperluan pada musim-musim tertentu. 

Beliau berkata, sejak akhir-akhir ini, banyak keluhan dari rakyat mengenai dakwaan kenaikan harga barangan keperluan utama apabila datangnya bulan Ramadan dan kelak apabila menjelangnya musim perayaan. 

“Kenaikan harga barang sudah tentunya membebankan pengguna, terutamanya golongan berpendapatan rendah, peniaga dan penjaja kecil.

“Tindakan pihak kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan bermula 21 April lalu adalah salah satu langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis amanat dan lawatan ke  Enforcement Command Centre (ECC) KPDNHEP, di sini hari ini.

Muhyiddin berkata, walau bagaimanapun, beliau mahu KPDNHEP dan agensi kerajaan lain berkaitan berganding bahu mengambil langkah lebih proaktif dalam menangani isu tersebut dan melakukan pemantauan serta penguatkuasaan berterusan. 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Bank Negara Malaysia baru-baru ini mengunjurkan bahawa ekonomi negara akan berkembang dalam lingkungan enam hingga 7.5 peratus tahun ini. 

Jelasnya, pemulihan aktiviti domestik yang stabil ditambah dengan peningkatan permintaan luaran, menjadi faktor asas yang mendorong keyakinan tersebut. 

Bagi mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi tersebut, beliau berkata, kerjasama daripada semua pihak amat penting bagi memastikan ekonomi negara kita terus berada pada landasan yang tepat. 

“Oleh yang demikian, saya berharap agar warga KPDNHEP akan terus memainkan peranan lebih efektif dalam mengawal selia sektor perdagangan dalam negeri.

“Ini terutamanya berkaitan dengan perdagangan pengedaran bagi memastikan program dan gerak kerja ekonomi negara supaya sentiasa lancar dan dapat dirancakkan,” katanya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya