TAMPIN: Tiada hujan namun tiba-tiba penduduk di Kampung Keru Hulu, di sini, dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur, petang kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 4.30 petang itu, seorang penduduk, Hairi Othman, 44, dibawa ke Hospital Tampin susulan dihanyutkan arus air berlumpur dari kolam tebatan sebuah kuari di atas sebuah bukit, berhampiran perkampungan berkenaan.
Hairi berkata, ketika kejadian dia sedang membuat kerja-kerja membina pagar baharu rumahnya.
“Tiba-tiba saya dengar bunyi seolah-olah batu dimasukkan ke dalam lori. Saya ingatkan kerja-kerja macam biasa, rupa-rupanya datang air berlumpur dari bahagian atas melalui anak sungai berhampiran.
“Tidak sempat saya nak naik ke tebing rumah tiba-tiba datang seperti kepala air. Saya dihanyutkan lebih 350 meter. Mata saya dimasuki air berpasir, berlumpur dan entah berapa banyak saya tertelan air berkenaan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di lokasi kejadian, semalam.
Hairi berkata, dia bernasib baik kerana air berlumpur dan pasir sahaja yang dibawa arus tersebut dan bukannya pokok serta kayu.
Bagaimanapun, menurutnya, aliran air berterusan selepas itu turut membawa batang pokok dan kayu.
“Mujur aliran arus air semakin lemah dan saya memaut pokok sawit dan berjalan kaki ke rumah sebelum meminta bantuan rakan membawa saya ke hospital,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Tampin, Suhaiza Sharudin berkata, pihaknya telah mengarahkan operasi kuari berkenaan dihentikan dan pihak kuari perlu melakukan kerja-kerja pembaikan segera membabitkan ban kolam takungan pasir yang pecah.
Menurutnya, berdasarkan siasatan awal, kejadian banjir lumpur berkenaan berlaku ketika pihak syarikat yang memiliki permit bagi kerja-kerja pasir, granite dan batu berdimensi itu sedang membuat kerja-kerja penambahbaikan kolam takungan.
“Mungkin faktor cuaca hujan hampir setiap petang sejak minggu lalu menyebabkan ban yang sedang dilakukan kerja-kerja penambahbaikan pecah.
“Dalam kejadian itu, tujuh rumah terputus hubungan apabila banjir lumpur menyebabkan laluan utama dipenuhi air lumpur berselut. Empat buah rumah terjejas yang mana sebuah rumah terjejas teruk kerana dinaiki banjir berselut,” katanya. – UTUSAN ONLINE