KOTA TINGGI: Peranan digalas ahli Badan Amal Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (Bakat) amat penting kerana mereka menjadi faktor penyumbang kepada kejayaan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, lawatan kerja beliau ke semua kem di seluruh negara yang diadakan setiap dua minggu bukan sahaja untuk beramah mesra dengan anggota dan pegawai tetapi juga bertujuan bertemu dengan Bakat.
Beliau berkata, setiap kejayaan lelaki mesti ada wanita di belakangnya yang memberi sokongan dan dorongan agar mereka terus bersemangat dan begitu juga peranan dimainkan ahli-ahli Bakat selama ini.
“Kita panggil Bakat hari ini bukan semata-mata untuk bersama-sama hanya menikmati makanan tetapi kita menghargai peranan mereka dan melihat bentuk sumbangan yang boleh disalurkan.
“Kalau Bakat (isteri) meragam di rumah, anggota tidak boleh fokus untuk buat kerja dengan baik sebab itu setiap kali turun ke kem saya akan jumpa Bakat dan berjumpa dengan mereka untuk menzahirkan penghargaan dan terima kasih,” katanya ketika berucap pada majlis lawatan kerja ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (Pulada) Ulu Tiram, di sini.
Pada majlis sama, Ismail Sabri turut menyerahkan sumbangan wang tunai kepada Pengerusi Bakat Pulada, Sabrina Mohamad selain meluangkan masa menziarahi anak-anak anggota yang mengalami masalah kesihatan di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
Dalam lawatan pertama, Ismail Sabri dan kepimpinan tertinggi Kementerian Pertahanan serta ATM melawat dua anak Sarjan Joy Rendy Ujoi dan Susanie Samangin yang menghidap masalah Cerebral Palsy.
Dua anak pasangan itu, Jizzale Ally, 10, dan Osscar Ally, 5, disahkan mengalami penyakit itu ketika masing-masing berusia sembilan dan lima bulan semasa Joy Rendy bertugas di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), Port Dickson, Negeri Sembilan.
Menurut Susanie, menjaga dua anak kurang upaya (OKU) bukan perkara mudah, namun ia ditempuhi dengan sabar oleh mereka yang menetap di RKAT Pulada dan amat bermakna apabila menerima kunjungan menteri yang selama ini hanya dilihat menerusi televisyen.
“Mereka dilahirkan dalam keadaan normal sebelum kedua-duanya dikesan tidak aktif seperti kanak-kanak yang lain. Selepas dibawa ke hospital, doktor mengesahkan mereka menghidap penyakit sama, tetapi kami tetap sabar membesarkan mereka sehingga kini,” katanya. – UTUSAN