Ayam, ikan naik harga masa Ramadan - Utusan Malaysia

Ayam, ikan naik harga masa Ramadan

Peniaga ayam, Ismail Muhamad, 49, berharap pelanggan tidak menuduh peniaga sepertinya suka-suka naikkan harga jualan ayam ketika Ramadan ketika ditemui di pasar besar Teluk Intan hari ini. - -UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Harga ayam, ikan dan daging di pasar besar di sini naik mendadak dikatakan berikutan permintaan yang tinggi semasa Ramadan.

Ini termasuk ikan tongkol daripada RM12 sekilogram sebelum ini kepada RM16, cencaru RM10 kepada RM12 sekilogram, ayam dari RM8.80 kepada RM9.80 sekilogram dan daging RM32 kepada RM35 sekilogram.

Peniaga ikan, Zambry Karim, 62 berkata, kenaikan harga ikan berlaku setiap kali bulan Ramadan.

Menurutnya, contohnya sebelum Ramadan ikan tongkol berharga RM12 sekilogram namun naik RM16 manakala cencaru sebelum ini boleh dijual RM10 sekilogram tapi naik kepada RM12.

“Agak menghairankan kenaikan harga tidak berlaku pada ikan-ikan bersaiz kecil seperti sardin dan kembung, mungkin ikan itu tidak ‘dipandang’ sebagai masakan untuk berbuka puasa. Selera orang nak berbuka mungkin suka tengok ikan besar.

“Memang ada pelanggan yang bertanya mengapa ikan naik harga pada bulan puasa dan semasa nak dekat hari raya? Saya pun beli pada harga yang tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Peniaga ayam, Ismail Muhamad, 49, pula memberitahu, harga ayam naik daripada RM8.80 sekilogram kepada RM9.80 dan dijangka terus naik.

“Pelanggan salahkan peniaga kata kami suka-suka naikkan harga tapi saya faham dan berharap pelanggan juga faham kami beli pada harga yang tinggi,” katanya.

Peniaga daging, Muhamad Azmi Bakar, 34, mengakui ramai pelanggannya yang bising kerana harga daging lembu naik mendadak pada Ramadan iaitu daripada RM32 sekilogram kepada RM35.

“Pembekal kata kos makanan lembu mahal sebab itu harga daging naik. Saya harap persatuan peniaga melihat isu ini dan berbincang dengan pembekal kenapa setiap tahun, masuk saja bulan puasa dan raya harga daging naik,” katanya.

Seorang pembeli, Rohkiah Abdul Jamal, 47, sudah menjangkakan kenaikan harga ikan dan ayam semasa Ramadan.

“Mahu tak mahu, kena beli juga walaupun harga ikan atau ayam mahal. Memang sudah jadi kebiasaan semasa bulan puasa, semua barang harga naik.

“Kalau mengeluh harga tetap akan naik, yang penting harga barang keperluan harian yang lain mudah untuk dibeli,” katanya.

Pembeli, Zakaria Harun, 67, berkata, kenaikan harga ikan sudah menjadi satu kebiasaan kerana pembekal tahu ketika Ramadan pembeli suka beli ikan yang besar-besar seperti ikan tongkol dan cencaru selain sotong serta udang.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya