Ayam, daging 12 barangan SHMMP 2021 berkuat kuasa Rabu - Utusan Malaysia

Ayam, daging 12 barangan SHMMP 2021 berkuat kuasa Rabu

ALEXANDER Nanta Linggi (tengah) menunjukan senarai harga kawalan semasa mengumumkan SHMMP 2021 di KPDNHEP, Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 akan dikuat kuasakan bermula 21 April hingga 20 Mei ini sebagai langkah menyekat kenaikan harga barangan keperluan semasa bulan Ramadan dan menjelang Aidilfitri pada 13 Mei ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tempoh penguatkuasaannya selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari perayaan dan tujuh hari selepas hari perayaan.

“Skim ini dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011. Sebanyak 12 jenis barangan bagi pelaksanaannya, manakala kategori barangan harga terkawal terdiri daripada ayam, telur ayam, daging dan hasil laut.

“Pelaksanaan skim ini juga akan memberi kesan kepada lain-lain barangan makanan sedia ada masak seperti nasi ayam, ayam golek, kuih-muih dan lain-lain juadah berbuka puasa yang berasaskan ayam, telur ayam dan hasil laut,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, 12 jenis barangan tersebut melibatkan ayam hidup, ayam standard (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal atau mana-mana bahagiannya) dan ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kaki, kepala, hati dan hempedal).

“Seterusnya, daging lembu tempatan (harga maksimum di Semenanjung dan Sabah sahaja), daging lembu import (harga maksimum di Sarawak sahaja) serta daging kerbau import (harga maksimum di Semenanjung, Sabah dan Labuan sahaja).

“Bagi telur pula iaitu telur ayam gred A (berat antara 65.0 gram (g) hingga dan 69.9 g sebiji), telur ayam gred B (berat antara 60.0 g hingga 64.9 g sebiji) serta telur ayam gred C (berat antara 55.0 g hingga 59.9 g),” katanya.

Tambah beliau, untuk jenis ikan membabitkan ikan kembung termasuk ikan mabung (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor setiap sekilogram), ikan selayang (berat antara tujuh ekor hingga 10 ekor setiap sekilo gram) dan ikan aya atau tongkol (berat antara satu ekor hingga dua ekor setiap kilogram).

“Ini baru peringkat awal dan ada lagi kira-kira 20 barangan lain yang belum disenaraikan serta akan diumumkan apabila dekat dengan perayaan nanti. Tujuan kita mengumumkan 12 barangan ini adalah yang berbentuk kritikal,” katanya.

Mengulas lanjut, Alexander berkata, peniaga yang sengaja menaikkan harga tanpa alasan munasabah dengan niat untuk membuat keuntungan berlebihan, tindakan diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 melalui Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) 2018.

Katanya, notis di bawah Seksyen 21 Akta turut dikeluarkan dan dikuatkuasakan dengan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati menaikkan harga secara mendadak bagi mendapatkan penjelasan
.
“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum, individu boleh didenda RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.

“Untuk kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 dan syarikat pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000,” jelasnya.

Mengenai aduan yang diterima daripada pengguna berhubung harga barangan, beliau berkata, sebanyak 33 aduan diterima melibatkan ayam dan ikan (masing-masing 15 aduan), sayur (dua aduan) dan daging (satu aduan) manakala, sebanyak 40 notis telah dikeluarkan kepada pemborong dan pengeluar. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya