Audio: Zahid, Anwar belum buat laporan polis - Utusan Malaysia

Audio: Zahid, Anwar belum buat laporan polis

HAMZAH Zainudin berucap pada Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Bandar Baru Tambun di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZAKI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis belum menerima laporan daripada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung rakaman audio perbualan yang dikaitkan dengan mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kedua-duanya perlu tampil untuk membuat laporan polis sekiranya mereka yakin rakaman audio berkenaan tidak benar bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan.

Menurutnya, penafian daripada mereka berdua yang mendakwa menjadi mangsa hanya akan disiasat sekiranya masing-masing membuat laporan seperti mana pihak lain.

“Sehingga kini Zahid, Anwar atau pegawai bagi pihak kedua-duanya tidak ada membuat sebarang laporan berhubung penularan rakaman audio itu,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri di Bandar Baru Tambun di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Menurut Hamzah, kedua-dua pemimpin politik itu sepatutnya tampil bagi membantu pihak berkuasa dan bukannya pihak lain yang tiada kaitan membuat laporan tentang rakaman audio tersebut.

“Kalau dia yakin (Zahid), dia kena buat laporan dan begitu juga Anwar. Melainkan laporan polis dibuat itu palsu, maka itu telah jadi kesalahan. Jadi, kalau dia tak salah buatlah laporan.

“Pada saya kalau dah ada laporan, pihak berkuasa yang bertanggungjawab akan siasat audio itu tulen atau tidak. Kalau tulen, barulah kita siasat siapakah pula penyebar rakaman itu. Soal nak tangkap penyebar itu perkara lain.

“Melainkan kalau Zahid nak mengaku yang Anwar memang cikgunya, ini tak salah pun. Begitu juga pasal kerjasama dia dan Anwar, itu pun tak salah. Kalau Zahid nak marah pun mungkin dia takut dituduh bersubahat,” ujarnya.

Sementara itu, Hamzah enggan melayan kenyataan pihak lain yang mahu beliau membuat penafian tidak terlibat dalam penularan rakaman audio kedua-dua pemimpin politik tersebut.

“Fasal apa pula nak suruh saya buktikan? Yang pasti kalau ada laporan polis, kita akan buat siasatan,” tegasnya.

Hamzah mengulas mengenai rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat yang tular dalam media sosial yang antara lain memaparkan suara mirip Anwar memuji ucapan Ahmad Zahid dalam Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini lalu menerusi panggilan telefon.

Semalam, Anwar menafikan dakwaan suara miripnya seperti dalam rakaman perbualan itu dan mendakwa ada pihak sengaja mahu mempergunakan PKR dalam pergolakan politik dalaman antara Bersatu dan UMNO. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya