Audio tular: serah kepada siasatan polis - Utusan Malaysia

Audio tular: serah kepada siasatan polis

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin enggan mengulas mengenai audio yang dikatakan perbualan mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebaliknya menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Ketika disoal, Mohamed Khaled mengakui sudah mendengar audio berkenaan, namun, enggan memberikan pandangan sama ada rakaman suara itu tulen atau sebaliknya.

“Itu kena tanya tuan empunya badanlah, kita tidak ada hendak membuat sebarang komen. Saya bukan pihak polis (untuk sahkan audio berkenaan tulen atau tidak), kita hanya mahu tahu kebenarannya. Katanya (Ahmad Zahid) nak buat laporan polis. Jadi, biar polis siasat.

“Dalam politik ini, orang cari peluang sahaja, benda kecil nak diperbesarkan dan perkara besar yang dikecilkan. Ini bergantung kepada individu itu sendiri,” katanya mengulas mengenai audio berkenaan yang kini menjadi tular dalam media sosial dan menjadi isu dalam UMNO.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyerahan Insentif Johor Berkebajikan E-Kasih 2021 di Dewan Raya Taman Air Biru di sini hari ini.

Terdahulu, sebuah rakaman audio berdurasi empat minit didedahkan dikaitkan dengan Ahmad Zahid dan Anwar yang saling berterima-kasih dan menyatakan rasa senang hati selepas perwakilan-perwakilan UMNO bersetuju dengan usul supaya parti itu memutuskan hubungan dengan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga bekas Menteri Besar turut enggan mengulas ketika ditanya sama ada wajar desakan supaya Ahmad Zahid berundur atau sama ada isu itu akan memecah belahkan parti.

Jelasnya, beliau mempunyai saluran sendiri dalam parti sebagai seorang daripada lima pemimpin tertinggi UMNO untuk menyuarakan sebarang komen atau pendapat.

“Bagi saya, yang lain tu, nak cakap pun tak guna. Biar polis yang siasat,” ujarnya.

Dalam pada itu, berkenaan program tersebut, beliau yang juga Pengerusi Yayasan Pasir Gudang berkata, peruntukan berjumlah RM469,800 diberikan kepada 783 penerima dalam Zon Pasir Gudang dan Zon Tebrau.

Tambah beliau, penerima dipilih daripada senarai e-kasih yang menerima RM300 sebulan selama dua bulan yang akan diberikan sebelum Hari Raya Aidilfitri. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya