NIBONG TEBAL: Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri mengambil langkah segera mencegah hakisan tebing Sungai Kerian, di sini sebelum menjadi lebih buruk.
Presidennya, R. Meenakshi berkata, tinjauan pihaknya mendapati banyak struktur tebing di sungai itu semakin terhakis dipercayai kerana pelbagai punca.
Ujar beliau, pihak berkaitan perlu mengkaji dan meneliti semua punca kejadian itu dan mengambil tindakan wajar untuk memitigasi serta mencegah masalah berkenaan semakin buruk.
“Menurut beberapa nelayan dan pemancing, mereka mendakwa kejadian itu berpunca kerana alun dari bot-bot besar yang berulang-alik menyelusuri sungai ke pelantar pendaratan ikan di Jalan Ban Sungai Tok Tuntong di situ.
“Beberapa kolam ternakan akuakultur yang begitu hampir dengan tebing sungai juga dikatakan antara punca selain sisa buangan kolam yang dialir ke dalam sungai menyebabkan kemerosotaan kualiti air,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut beliau, pihak berkuasa berkaitan sepatutnya turun padang mengenal pasti sama ada dakwaan tersebut berasas dan merungkai masalah yang diutarakan itu.
Jelas beliau, sepanjang tinjauan pihaknya juga mendapati terdapat bot-bot besar yang membawa muatan menuju ke bangunan pendaratan ikan berkenaan.
“Jelas kelihatan alun dari bot besar itu mampu menyebabkan hakisan yang lebih serius sekiranya tiada penghadang semula jadi atau tembok penahan yang kukuh bagi mengelakkan berlakunya runtuhan tebing sungai,” katanya.
Sementara itu Meenakshi berkata, pembangunan dan aktiviti yang tidak terkawal sama ada secara sah atau tidak juga boleh menyebabkan tebing sungai menjadi tidak stabil. – UTUSAN ONLINE