AstraZeneca: Kerajaan tunggu laporan klinikal - Utusan Malaysia

AstraZeneca: Kerajaan tunggu laporan klinikal

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan mempunyai pelan sokongan sekiranya vaksin Covid-19, AstraZeneca yang diluluskan sebelum ini tidak sesuai digunakan di negara ini.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, kementerian akan menunggu laporan klinikal selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) pada Selasa ini.

Kata beliau, pihaknya akan menerima laporan daripada kumpulan pakar yang sedang mengikuti perkembangan dengan vaksin AstraZeneca.

“Kita mengambil maklum bahawa terdapat beberapa kes suntikan vaksin AstraZeneca oleh Badan kawal selia perubatan United Kingdom (UK) selepas ia berpotensi menyebabkan pembekuan darah.

“Tetapi, kita masih lagi sedang melihat data tersebut dan apa sahaja keputusan berkenaan dengan penggunaan vaksin AstraZeneca akan dimaklumkan kemudian.

“Setakat ini, kita masih belum terima penghantaran AstraZeneca. Jadi, jangan risau kerana kita masih lagi sedang guna Pfizer BioNTech dan Sinovac di sini,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Dato Jaafar Muhammad, Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai Badan kawal selia perubatan UK mengesahkan tujuh daripada 30 individu yang mengalami pembekuan darah selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 AstraZeneca, meninggal dunia.

Kenyataan berhubung kes kematian itu dikeluarkan selepas beberapa negara Eropah mengambil keputusan menghentikan sementara suntikan vaksin AstraZeneca selepas ia berpotensi menyebabkan pembekuan darah.

Khairy yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan berkata, buat masa ini kerajaan belum menerima penghantaran AstraZeneca yang dijangka akan tiba pada bulan depan.

Katanya, kerajaan sudah menempah sebanyak 6.4 juta dos vaksin AstraZeneca untuk kegunaan 3.2 juta rakyat di negara ini dan akan menerima tambahan 1.4 juta dos vaksin melalui Program pengedaran Vaksin Antarabangsa (Covax) yang disokong oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Kalau kita terpaksa tangguh AstraZeneca atau sekiranya kita dapati bahawa AstraZeneca mungkin tidak sesuai, kita ada beberapa perancangan lain.

“Sebagai contoh kita ada satu tawaran daripada Pfizer untuk tambah sebanyak 12.8 juta dos tambahan daripada apa yang kita tempah setakat ini,” katanya.

Ditanya mengenai mempertimbangkan jenama lain bagi vaksin Covid-19, beliau berkata, pihaknya masih lagi sedang berunding dengan vaksin Covid-19 Novavax dan beberapa vaksin lain yang belum sampai ke pasaran.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN