KENINGAU: Buaya liar sepanjang dua meter dan seberat 100 kilogram ditangkap di tepi kolam di Kampung Titiku Pamalan di sini semalam.
Ketua Operasi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Azmir Yussof dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan buaya itu pada pukul 1.05 petang dan sepasukan anggota dikejarkan ke lokasi.
“Pengadu yang berusia 43 tahun ternampak buaya itu di tepi kolam sebelum bertindak menghubungi APM kerana bimbang akan keselamatan tujuh ahli keluarganya termasuk dua kanak-kanak.
“Skuad bertugas kemudiannya menyediakan tali penjerut serta menilai tahap bahaya di lokasi sebelum mengesan buaya liar yang bersembunyi di dasar kolam,” katanya.
Dalam operasi itu, APM turut bekerjasama dengan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Keningau untuk mengesan buaya berkenaan.
Proses itu mengambil masa beberapa minit sebelum buaya berkenaan berjaya ditangkap.
Buaya tersebut diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar untuk tindakan selanjutnya.