PETALING JAYA: DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) harus menerima jika akhirnya perlu bergabung dengan UMNO bagi menumbangkan Perikatan Nasional (PN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, Pakatan Harapan (PH) juga tidak mempunyai pilihan lain untuk menewaskan kerajaan hari ini yang disifatkan sebagai ‘pengkhianat’.
“Apa lagi pilihan kita ada untuk kembalikan mandat rakyat? Gabungan ini mantap dan kukuh. Saya percaya.
“Sekarang masalahnya bukan ‘No Zahid’. Masalahnya siapa nak bersama kita dalam membentuk kerajaan? Jangan kita lupa gabungan dalam PH sesuatu ketika dulu termasuk Bersatu, kesemuanya bertanding atas tiket Keadilan.
“Jadi, mereka (DAP dan Amanah) perlu faham tidak ada mana-mana sekatan pun yang boleh dibuat untuk mengembalikan mandat rakyat,” katanya ketika dihubungi semalam.
Rakaman kira-kira empat minit itu telah tersebar melibatkan suara mirip Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada akhir bulan lalu.
Dalam rakaman tersebut, suara mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan-akan Ahmad Zahid kerana berjaya mengendalikan PAU.
Selain itu, suara yang didakwa Ahmad Zahid berkata, apa yang diucapkan ketika PAU hanya bersifat taktikal.
Bagaimanapun Ahmad Zahid dan Anwar telah menafikan suara dalam audio berkenaan dan masing-masing berkata akan membuat laporan polis.
Mengulas lanjut penerimaan Amanah dan DAP yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut, Abdullah berkata, pertikaian itu hanya minoriti yang boleh diselesaikan dengan baik.
“Tak ada. Bunyi sikit-sikit itu biasalah. Kalau ikut daripada penerimaan yang dipersetujui untuk kembalikan mandat rakyat, tak ada isu.
“Kita sekarang ini tidak pedulikan semua, yang penting negara ini kena diselamatkan, kerajaan perlu ditukar. Sama ada melalui pilihan raya atau tukar kerajaan kepada pihak lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE