Apa peranan Majlis Harga Barang? - Utusan Malaysia

Apa peranan Majlis Harga Barang?

Peningkatan harga barangan terutama barangan basah pada musum perayaan membebankan pengguna- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Harga Barang sepatutnya memainkan peranan berhubung isu kenaikan harga barangan yang naik mendadak terutama setiap kali musim perayaan.

Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, tugas badan tersebut dilihat masih kabur dalam memberikan perincian maklumat pada setiap barang sehingga peringkat pengguna terkesan akibat tetapan harga tidak masuk akal.

RAZALI IDRIS

“Fenomena harga melambung perlu dititiknoktahkan yang rata-rata memberi kesan yang sangat buruk kepada pengguna dan peniaga.

“Di manakah peranan Majlis Harga Barang Negara yang sepatutnya memberi data mutakhir bagi setiap barangan yang dijual tetapi pada harga akhir kepada pengguna itu tetap sangat tinggi. Pengguna mula mempersoalkan apakah fungsi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Sehingga pertengahan bulan Ramadan ini, ramai pengguna dan peniaga berasa sangat terkesan dan mengeluh akibat harga yang tidak masuk akal termasuk barang basah seperti sayur, udang, ikan, ayam, daging dan buah selain minyak masak dan barang makanan tin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, beberapa peniaga mengeluh rentetan harga barang basah naik secara drastik di tengah-tengah umat Islam sedang menjalani ibadah puasa.

Laporan itu hadir berdasarkan tinjauan di beberapa kawasan mendapati barang basah seperti ikan, sayur dan ayam mengalami peningkatan malah ia berlaku beberapa hari sebelum Ramadan.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi memerangi kartel atau ‘orang tengah’ yang dilihat sebagai punca utama harga barang meningkat.

Malah, katanya, kementerian juga perlu mengambil langkah drastik untuk mengesan sindiket kartel yang berlaku di peringkat pengimport dan pemborong bagi barang yang diimport sepenuhnya dan didorong oleh kartel domestik yang menguasai rantaian bekalan antara pemborong, pembekal serta peniaga tempatan.

“Kita memahami penentuan harga barangan bergantung kepada harga di negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan kos utiliti tetapi permainan harga yang tidak munasabah dengan niat membuat keuntungan tinggi masih terus berlaku pada masa ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya