PETALING JAYA: Tiada apa yang dibanggakan dengan Kabinet hari ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berkata, tiada faedah menteri dan timbalan menteri UMNO duduk di dalam Kabinet kerana tiada perubahan positif yang
dibuat, sebaliknya hanya berdiam diri dan masih mengekalkan agenda yang dibawa Pakatan Harapan (PH) dulu.
“Kita rasa macam tak ada faedah duduk dalam kerajaan pimpinan Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia). Masih bawa agenda PH. Umpanya isu Tabung Haji. Pemulihan Tabung Haji sama apa yang dilakukan PH, tak ada pindaan, perubahan, tak ada penambahbaikan. Isu arwah Adib? Takkan bila dalam kerajaan, mereka lupa semua itu?
“Itu maknanya kita tak konsisten, retorik sebagai pembangkang, kita lupakan isu-isu ini bila naik jadi kerajaan. Sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands ke Tanjung Piai, daripada sekecil kuman sampai isu Tabung Haji kita dengar. Sekarang semua hilang. Ini politik jenis apa?
“Saya setuju dengan apa yang Tun Musa Hitam cakap, seolah-olah macam main masak-masak. Tidak ada persamaan dari segi falsafah, bila tubuhkan kerajaan dengan pelbagai ramuan, tak jadi apa. Orang nak tubuhkan kerajaan ini mesti ada falsafah. Sebab itu satu dunia melihat kerajaan hari ini lebih kurang dengan PH yang digulingkan,” katanya.
Shahrir berkata, rakyat sebenarnya tidak kisah sama ada UMNO memegang jawatan atau tidak, namun dengan jawatan itu sebenarnya mampu membuat perubahan positif pada rakyat.
“Tak semua orang UMNO macam itu, bukan semua yang rasakan jawatan itu adalah matlamat. Kerana UMNO selama 22 bulan kekal kuat, tanpa jawatan dalam kerajaan, tak ada soal projek, kontrak, semuanya dah lari. Jadi maknanya UMNO yang wujud 22 bulan tanpa kerajaan ini, UMNO boleh bertahan sebagai sebuah parti.
“Rakyat sebenarnya tidak kisah kita ini menteri atau tidak. Wadah perjuangan UMNO sudah dibersihkan, UMNO tidak bergantung kepada jawatan dalam kerajaan. Kita kali ini benar-benar bawa perjuangan,” jelasnya.
Shahrir berkata, Barisan Nasional (BN) kali ini mampu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), namun perlu memberi tawaran baharu kepada rakyat.
“Bergantung kepada tawaran baharu dari Pusat kepada rakyat dalam bentuk apa? Dan bila kita tunjukkan kita sebagai sebuah parti dalam keadaan kita bukan kerajaan, kita boleh berfungsi.
“Malah gelombang lima negeri yang menjadi ketua kerajaan negeri, gelombang itu akan membawa kepada kemenangan di peringkat cawangan sehingga ke Parlimen,” katanya.