Anwar digesa ikuti PICK - Utusan Malaysia

Anwar digesa ikuti PICK

KHAIRY JAMALUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ditempelak kerana seolah-olah cuba memburukkan proses pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) biarpun ia berjalan lancar seperti dirancang kerajaan.

Menteri Penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin berkata, seperti yang dinyatakan banyak kali sebelum ini, PICK sedang dilaksanakan mengikut fasa diumumkan sejak 14 Februari lalu dengan perancangan PICK dibuat dengan mengambil kira jadual penghantaran vaksin oleh syarikat-syarikat pembekal vaksin.

Katanya, jadual ini juga diumumkan sebelum ini, malah, ia juga dijelaskan bahawa mengikut unjuran kerajaan, bekalan vaksin akan mula ampuh bermula bulan Jun yang juga mengikut perancangan PICK bahawa vaksinasi massa fasa tiga dijadualkan bermula Jun ini.

“Mengenai dakwaan kerajaan Selangor menunggu ‘berbulan lamanya’ hanya untuk mendapat kelulusan yang diperlukan untuk mendapatkan dua juta dos buat rakyat Selangor, ini adalah tidak benar, malah, sehingga kini, saya belum menerima apa-apa permohonan rasmi dari pihak Selangor biarpun sebelum ini, Menteri Besar Selangor ada sebut secara lisan perancangan Selangor untuk membeli vaksin dan saya memberi respons yang positif.

“Bagi kerajaan Sarawak pula, saya mengadakan beberapa sesi libat urus dengan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, saya telah memberitahu bahawa bekalan kerajaan Persekutuan mencukupi untuk menampung keperluan pelaksanaan PICK di Sarawak manakala beliau juga memohon untuk Kerajaan Negeri membeli Vaksin yang mana saya memberi respon positif dengan syarat vaksin yang ingin dibeli mestilah berdaftar di bawah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terlebih dahulu memandangkan jenis vaksin yang dikehendaki mereka masih dalam proses penilaian NPRA,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata, beliau sentiasa terbuka untuk disoal, dikritik dan disiasat susulan tuntutan kedua Anwar yakni siasatan bebas dilakukan di bawah Parlimen terhadap PICK dan perolehan vaksin.

Katanya, sekali lagi beliau ingin mengingatkan ketua pembangkang itu bahawa beberapa kontrak pembelian vaksin telah pun didedahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen pada 5 Januari lalu bersekali dengan jadual penghantaran dan harga yang dibayar.

“Antara ahli PAC yang hadir dan memperhalusi kontrak perolehan vaksin pada hari tersebut adalah Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, malah, saya juga mengadakan sesi libat urus bersama Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada pembangkang pada 19 Mac lalu yang mana saya bentangkan secara panjang lebar pelaksanaan PICK termasuk menjawab pelbagai soalan secara terperinci.

“Bagaimanapun, ketua pembangkang berkenaan tidak hadir pada sesi libat urus bersama Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada pembangkang. Harapan saya, ketua pembangkang akan terus mengikuti pelaksanaan PICK dan memberi kritikan bernas untuk saya menjawab,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN