SHAH ALAM: Jika tahun lalu, Ahmad Zaidi Ahmad Zamri mengimamkan solat tarawih untuk keluarga, namun kini hanya tinggal kenangan apabila dia terlibat dengan kemalangan jalan raya tiga bulan lalu.
Menurut bapanya, Ahmad Zamri Ismail, 52, pada tahun lalu, anak keduanya itu akan menjadi imam dan bergilir bersama adik-beradiknya yang lain untuk menunaikan solat tarawih sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Malah, lepas bersahur, Allahyarham akan mengaji al-Quran sehingga masuk waktu Subuh. Kebanyakannya dia akan menghabiskan masanya dengan aktiviti berfaedah.
“Malah, sehingga bekerja membawa grab makanan, dia merahsiakannya daripada keluarga semata-mata tidak mahu menyusahkan daripada sudut kewangan,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di kediamannya di Seksyen 20 di sini hari ini.
Terdahulu, Ahmad Zaidi merupakan pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), meninggal dalam kemalangan pada hari pertama dia bekerja sambilan sebagai penghantar makanan di Jalan Duta menghala Kuala Lumpur 25 Januari lalu.
Allahyarham mengambil kursus Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal Awam dan cuma tinggal satu semester sebelum tamat pengajian.
Mengulas lanjut, Ahmad Zamri berkata, selain itu, antara yang akan diingati mereka sekeluarga ialah anaknya itu mencipta ruang sanitasi untuk keluarga sebelum meninggal dunia.
Jelasnya, Ahmad Zaidi seorang anak yang penyayang kepada ahli keluarganya dan suka tersenyum selain kurang bercakap.
“Dia bimbang pandemik Covid-19 menjangkiti keluarganya dan mengambil Inisiatif membuat tempat sanitasi dalam rumah.
“Setiap kali melihat alat yang diciptanya hati merasa sebak, betapa kasihnya dia kepada keluarga,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE