Amukan sang belalai takutkan pekebun - Utusan Malaysia

Amukan sang belalai takutkan pekebun

KEBUN pisang penduduk musnah diserang gajah jantan di Kampung Subong, Gua Musang, Kelantan. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Kira-kira 30 pekebun dan penoreh di Kampung Subong di sini tidak lagi berani turun ke kebun masing-masing selepas seekor gajah jantan dikatakan mengamuk dan memijak dua lembu ternakan hingga mati, dua hari lalu.

Selain hidup dalam ketakutan, mereka juga menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila lebih 300 pokok pisang dan pokok getah musnah dipijak haiwan sama yang didakwa mula membuat kacau sejak lebih dua minggu lalu.

Pekebun, Zakaria Omar, 53, berkata, gajah liar itu dilihat sering berkeliaran dalam kawasan kebunnya dan setakat ini kira-kira 150 pokok pisang miliknya telah musnah.

“Kejadian paling teruk berlaku pada malam Khamis lalu kerana bukan sahaja pokok pisang dimusnahkan tetapi dua lembu turut mati dipijak gajah itu.

“Akibat kejadian itu, kami sudah tidak berani ke kebun sama ada untuk menoreh getah atau menuai hasil tanaman pisang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Seorang lagi pekebun, Nik Kamarul Aziman Nik Zul, 32, berkata, dia sendiri sudah beberapa kali terserempak dengan gajah itu dan hanya mampu melihat sang belalai memusnahkan pokok pisang yang diusahakannya dari jauh.

Katanya, jika pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) tidak mengambil tindakan segera, lebih banyak haiwan ternakan dan tanaman penduduk bakal menjadi ‘korban’ gajah terbabit.

“Kami sudah melaporkan kepada pihak Perhilitan dan berharap tindakan lanjut mereka dibuat secepat mungkin.

“Gajah itu perlu ditangkap segera dan dipindahkan ke kawasan lain kerana jika keadaan ini berterusan, kami yang mencari rezeki dengan berkebun bakal hilang punca pendapatan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya