Amir Faris mahu baju raya biru - Utusan Malaysia

Amir Faris mahu baju raya biru

SITI Rohani Makanal bersama anak-anaknya menatap gambar arwah Muhammad Amir Faris yang mati lemas ketika ditemui di Kampung Katong, Arau, Perlis.- MINGGUAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Air matanya mengalir deras dengan mulut tidak putus-putus berdoa, ‘Ya Allah, tolong selamatkan abang Amir’.

Doa tersebut tidak lekang daripada mulut Muhammad Amar Firas Rohaizad, 7, saat melihat abangnya, Muhammad Amir Faris,10, ditemukan mati lemas di depan matanya selepas tergelincir jatuh ke dalam takungan air bendang dalam kejadian menyayat hati sebelum berbuka puasa di Kampung Hutan Kandis, Jelempok di sini, kelmarin..

Anak kedua dari empat beradik yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jelempok itu ternyata masih trauma dengan kehilangan abang sulungnya itu di saat mereka dengan seorang lagi rakan berusia 11 tahun sedang bermain bersama di kawasan itu.

Ibu mangsa, Siti Rohani Makanal, 34, berkata, sebelum kejadian, anak sulungnya itu ke sekolah bagi mengambil bubur lambuk untuk berbuka puasa di rumah.

“Selepas itu, dia (Amir) meminta izin daripada saya keluar bermain dengan kawan dan adiknya. Saya sedang memasak untuk berbuka puasa.

“Lazimnya, Amir tidak pergi main jauh sama ada bermain di depan rumah atau di sekitar rumah kawannya sahaja,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di Kampung Katong di sini, semalam.

Kelmarin, Utusan Malaysia melaporkan, perjalanan pulang seorang kanak-kanak berusia 10 tahun untuk berbuka puasa bersama keluarga tidak kesampaian, apabila dia ditemukan mati lemas selepas basikal yang dinaikinya tergelincir jatuh ke dalam takungan air bendang di Kampung Hutan Kandis, Jelempok di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.30 petang itu, Muhammad Amir bersama adiknya berusia lapan tahun serta seorang rakan berusia 11 tahun sedang berbasikal bersama melalui laluan batas bendang di kawasan berkenaan.

Menurut Siti Rohani, dia dan suami sama sekali tidak menyangka tiga kanak-kanak tersebut bermain berhampiran kawasan bendang yang mempunyai lubuk takungan air dalam selain jauh dari rumah penduduk serta agak sunyi.

“Takungan air tersebut baru sahaja dikorek dua hari lepas. Kalau kita lalu mungkin nampak seperti petak bendang biasa sahaja dan tidak menyangka ia agak dalam. Kalau boleh selepas ini, buatlah pagar atau tanda di sekeliling takungan air itu supaya kejadian sama tidak berulang lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Siti Rohani turut terkilan tidak sempat membeli baju raya kepada anaknya yang sebelum ini sudah bertanyakan beberapa kali bila mereka akan keluar bersama membeli kelengkapan tersebut.

“Baru-baru ini, kami bawa nenek mereka pergi beli baju raya. Bila balik tu, Amir tanya bila nak pergi beli baju raya mereka pula. Dia (Amir) cakap nak pakai baju raya warna biru, tapi suami saya beritahu, kami sudah ada warna itu dan kami sekeluarga mahu pakai tema kuning tahun ini.

“Kalau macam kuih raya saya dah tempah dari awal lagi. Saya tanya dia nak kuih apa, tapi Amir memang tak memilih dia cakap apa yang saya suka sahaja,” katanya.

Jenazah Muhammad Amir selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Katong di sini kira-kira pukul 12 tengah malam semalam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya