BALIK PULAU: Pemilik tanah pertanian di negeri ini seharusnya menggunakan peluang keemasan dengan mengusahakan kebun tanaman sendiri atau menyerahkannya kepada waris terdekat dalam meneruskan kelangsungan hidup ketika negara masih dibelenggu pandemik Covid-19.
Pengerusi Badan Pemikir Melayu (Pemikir), Datuk Dr. Muhammad Farid Saad berkata, keputusan pemilik tanah pertanian di negeri ini menyewakan kepada warga asing termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengusahakan tanaman seharusnya tidak berlaku.
Katanya, tanah-tanah pertanian di Pulau Pinang sama ada di Balik Pulau mahupun di Seberang Perai adalah kawasan yang subur untuk diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman.
“Isu ini sepatutnya membuka mata terutamanya orang Melayu. Warga asing terutama Bangladesh dan Indonesia dilaporkan ‘melanggar’ sektor lain selain yang dibenarkan mereka bekerja di negara ini.
“Bukan setakat itu, warga Myanmar dan Rohingya juga mula terlibat dalam aktiviti pertanian terutamanya di kawasan bukit-bukit. Kebanyakannya adalah PATI.
“Sebenarnya warga asing ini mengambil peluang yang terbuka luas untuk mereka mencari rezeki dan menambah pendapatan bagi menambah tabung simpanan mereka di negara asal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Beliau memberitahu, peluang pertanian berada di depan mata orang Melayu tetapi malangnya tidak ramai daripadanya menyedari implikasi dan keuntungan bakal diperoleh.
“Mungkin mereka sedar tetapi tidak mengendahkannya. Ini kerana, kebanyakan tanah pertanian adalah milik orang Melayu yang berada di kawasan kampung dan kawasan yang masih dizonkan sebagai Zon Pertanian dalam Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang.
“Aktiviti tanaman sayur boleh ditanam pada bila-bila masa dengan kitaran tempoh tumbuh tuai yang pendek,” ujarnya.
Tambah beliau, kawasan pertanian di Balik Pulau sesuai dijadikan sebagai Pusat Pembekalan Makanan di seluruh pulau selain dieksport keluar negara.
Jelas Muhammad Farid, terdapat kawasan seluas 4,139 hektar di kawasan pulau manakala di Seberang Perai pula seluas 32,338 hektar yang telah dizonkan sebagai kawasan pertanian.
“Hampir semua tanah milik orang-orang Melayu adalah di kawasan atau zon ini.
“Pemilik-pemilik tanah ini seharusnya mengusahakan tanah mereka sendiri atau diusahakan oleh waris mereka.
“Jika orang-orang Melayu tidak mahu orang lain mengerjakan tanah mereka, maka mereka sepatutnya mengusahakan tanah tersebut dan mendapatkan hasil yang lumayan,” tambahnya.
Pada 30 Mac lalu, Utusan Malaysia melaporkan pendatang asing warga Bangladesh kini semakin hidup selesa tinggal di negara ini setelah berpeluang mengusahakan tanah kebun milik rakyat tempatan sehingga memperoleh pendapatan lumayan mencecah empat angka sebulan. – UTUSAN ONLINE