PUTRAJAYA: UMNO perlu berubah dan mengambil kira suara semua pihak dalam kalangan akar umbi termasuk meneliti pandangan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa demi memulihkan semula parti itu.
Ketua UMNO Bahagian Damansara, Datuk Ikhwan Salim Sujak berkata, pada masa ini pelbagai pandangan dilontarkan, namun jika pandangan itu tidak disenangi pucuk pimpinan parti, ia dianggap anti Presiden.
Justeru, katanya, setiap pandangan bernas itu perlu diterima dan difikirkan secara bersama demi mengubah UMNO menjadi lebih baik dan mengikut arus peredaran zaman.
“Pada saya UMNO mesti berubah dan sekarang macam-macam pandangan kita dengar tapi bila ada pandangan, dia dikira anti Presiden.
“Tetapi sebenarnya bukan, ia cadangan akar umbi, kita bincang tidak habis-habis untuk ‘berkahwin’ tetapi kalau kita kuat dan baik, orang hendak kahwin dengan kita, kita tak perlu cari orang hendak berkahwin.
“Jadi pandangan-pandangan bernas yang mengubah UMNO itu baik untuk sama-sama kita fikirkan, janganlah kita bersikap stereotaip dengan apa sahaja dan setuju semua,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Annuar mendedahkan sekurang-kurangnya empat ‘keanehan’ yang berlaku semasa Perhimpunan Agung UMNO 2020 baru-baru ini.
Ketua UMNO Bahagian Ketereh itu juga mendakwa wujud pihak yang sudah mengaturkan usul-usul untuk dibawa ke perhimpunan tersebut yang pada kebiasaannya usul dibawa secara bebas oleh bahagian-bahagian yang bersidang, tetapi mendakwa ada pihak yang mengatur usul-usul yang dibawa di mesyuarat peringkat bahagian.
Dalam pada itu, jelas Ikhwan Salim, UMNO hari ini dilihat masih dalam cara lama dari segi hierarki dan tidak memikirkan untuk menentukan muka baharu menjadi pemimpin.
Katanya, beliau sendiri tidak nampak parti mempunyai satu carta pelan untuk membuat perubahan dengan meletakkan keutamaan parti dan rakyat berbanding kepentingan individu. – UTUSAN ONLINE