Alasan tak munasabah, manipulasi harga siling - Utusan Malaysia

Alasan tak munasabah, manipulasi harga siling

NORENA Jaafar (tiga dari kanan) bersama Ismail Othman (dua dari kanan) meninjau gerai peniaga pada program Walkabout SHMMP 2021 di Pasar Besar Awam Melaka, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri mendapati terdapat segelintir peniaga di Pasar Besar Awam Melaka cuba memanipulasi peletakan harga siling dengan memberikan pelbagai alasan tidak munasabah.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, antara alasan yang diberikan adalah melibatkan daging kerbau import sejuk beku dijual dengan harga RM22 sekilogram melebihi harga maksimum dibenarkan RM20 sekilogram, dengan alasan ia telah dinyahbeku.

Tegasnya, menaikkan harga sebanyak RM2 semata-mata kerana daging itu telah dilembutkan dahulu sangat tidak munasabah dan jelas gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021.

“Ada juga peniaga yang terpaksa menaikkan harga bagi mendapat keuntungan lebih dengan alasan mengambil bekalan daripada pemborong atas pemborong selain terpaksa mengambil dengan pembekal yang sama kerana sudah lama berurusan.

“Dengan mengambil kira keadaan ekonomi semasa para peniaga perlu mencari alternatif lain dan jangan memperoleh bekalan dari satu sumber sahaja,” katanya ketika sidang akhbar selepas melakukan tinjauan SHMMP 2021 di sini, hari ini.

Yang hadir sama Exco Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Ar. Ismail Othman.

Tambah Norena, pematuhan peniaga di Pasar Besar Awam Melaka terhadap perlaksanaan SHMMP 2021 mencapai tahap 90 peratus.

Ujarnya, 10 peratus lagi pula hanya berkaitan kegagalan peniaga mempamerkan harga barang kawalan menggunakan tag berwarna merah jambu.

“Saya harap para peniaga segera mematuhi arahan kerajaan bagi mengelakkan kekeliruan kepada pengguna. Kita tidak mahu nanti pengguna akan mengadu kepada kita terdapat perbezaan harga di beberapa lokasi di negeri ini,” ujarnya.

Tempoh kuat kuasa SHMMP 2021 adalah selama 30 hari iaitu 22 hari sebelum perayaan, pada hari raya dan tujuh hari selepas Aidilfitri. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya