PUTRAJAYA: Kerajaan akan menggubal akta khusus bagi melahirkan pemandu ambulans cekap sekali gus membendung ratusan kemalangan melibatkan pemandu kenderaan itu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penggubalan undang-undang itu berdasarkan Sistem Pengurusan Kecemasan (EMS) di banyak negara maju untuk keselamatan ambulans.
“Secara purata, 129 kes kemalangan direkodkan setahun dengan sembilan kematian sejak lima tahun lalu selain 636 nahas tanpa melibatkan kecederaan dalam tempoh itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Tandatangan Nota Kerjasama Antara Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.
Nota tersebut ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd. Shafiq dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak yang disaksikan oleh Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim.
Mengulas lanjut, Adham berkata, ketika ini terdapat lebih 7,000 pemandu dengan 2,500 ambulans milik Kementerian Kesihatan beroperasi di kesemua fasilitinya di seluruh negara.
“Dasar EMS ini akan diguna pelbagai jabatan, agensi awam, badan sukarela dan hospital swasta bagi memastikan pemandu ambulans terlatih dalam situasi kecemasan,” katanya.
Justeru dua kementerian berkenaan ujarnya, membentuk jawatankuasa pemandu dan jawatankuasa kerja bagi membincangkan segala isu perundangan dengan lebih terperinci.
Kerjasama strategik itu kata beliau, akan melibatkan aspek pembangunan kompetensi pemandu ambulans, kejuruteraan automotif dan siri program keselamatan jalan raya.
Menerusi usaha sama secara berterusan dan berstruktur itu, Adham berharap, program pentauliahan pemandu bakal dilaksanakan serta diperluaskan meliputi semua pihak.
“Peserta yang menyempurnakan modul ditetapkan akan menerima pengesahan sama ada dalam bentuk pelesenan khas atau pemberian Sijil Kemahiran Malaysia,” tambahnya.- UTUSAN ONLINE