PASIR PUTEH: Tidak sebagaimana kuih akok di tempat lain, Akok Mek Jah di Kampung Dalam Ru, di sini bersifat eksklusif kerana hanya dinikmati penggemarnya 30 hari dalam setahun, iaitu sepanjang Ramadan.
Biarpun mempunyai pelanggan setia tersendiri dan sering pula diminta berniaga tanpa mengira musim, Mek Jah Mat Diah, 57, tetap hanya mahu berniaga kuih tradisi hasil adunan telur itu pada Ramadan, sejak 10 tahun lalu.
“Kalau jual hari-hari, nanti orang bosanlah,” kata wanita itu ketika ditemui Utusan Malaysia di bangsal kayu di hadapan rumahnya, di sini, semalam.
Mek Jah berkata, kehadiran Ramadan membuka peluang kepada keluarganya mencari rezeki lebih hasil perniagaan kuih warisan Melayu Kelantan itu, biarpun hanya dijalankan selama 30 hari.
Menurutnya, rahsia keenakan Akok Mek Jah terletak pada cara adunan dibuat selain dibakar secara tradisional oleh ahli keluarganya menggunakan bara sabut kelapa kering, sekali gus membangkitkan aroma unik tersendiri.
“Saya memproses sendiri bahan adunan menggunakan 1,000 biji telur itik bersama satu beg besar tepung gandum dan 10 kilogram santan kelapa setiap hari. Sekiranya bekalan telur itik tidak mencukupi, saya terpaksa menggunakan telur ayam gred A.
“Perniagaan ini hanya dijalankan di bangsal di depan rumah sejak hampir 10 tahun lalu. Jadi kami tidak perlu bersusah payah mencari bazar Ramadan,” katanya.
Wanita itu memberitahu, perniagaannya dibuka seawal pukul 3 petang setiap hari dengan mendapat tempahan awal daripada pelanggan setia dan lazimnya Akok Mek Jah habis dijual seawal 5 petang.
“Saya jual akok yang masih panas yang baru diangkat dari dapur. Tahun ini kuih tradisional ini dibungkus dalam tiga pakej iaitu RM3, RM5 dan RM10 kerana kami buat kaedah jualan berasaskan pandu lalu bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE